SYED Saddiq berucap ketika himpunan aman berhubung isu skandal LCS baru-baru ini. FOTO Asyraf Hamzah
SYED Saddiq berucap ketika himpunan aman berhubung isu skandal LCS baru-baru ini. FOTO Asyraf Hamzah
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Polis akan mengambil keterangan 13 individu yang memberikan ucapan dalam perhimpunan 'Protes Mana Kapal LCS?' yang diadakan di pusat beli-belah di hadapan Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, berkata pihaknya akan memanggil dahulu semua 13 individu berkenaan petang esok di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk diambil keterangan susulan perhimpunan yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang.

"Kita akan panggil 13 individu dahulu yang terbabit berucap dalam perhimpunan itu. Mereka akan dipanggil untuk membantu siasatan polis. Kita akan tengoklah macam mana nanti (tindakan susulan selepas 13 individu memberikan ucapan)," katanya ketika ditemui pada majlis memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) antara Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPK KL) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim dan Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Awang @ Musran Tawil.

Sementara itu, ditanya apa tindakan proaktif pihak Polis Kuala Lumpur untuk membendung perhimpunan protes berkenaan daripada merebak lebih besar, Azmi menasihatkan supaya semua pihak sewajarnya mematuhi peruntukkan undang-undang sedia ada.

"Tindakan kita (polis), saya percaya ia standard. Maknanya kita akan buka kertas siasatan sekiranya ia melanggar mana-mana peruntukkan undang-undang atau pun dalam kes ini melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Kita akan rujuk siasatan ini kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk mereka buat keputusan. Jadi, tindakan kita adalah standard, sama sahaja. Apa pun, kita berharap masyarakat akan terus memberikan kerjasama kepada pihak polis dalam menjalankan tugas kita," katanya.

Sementara itu, Awang berkata menerusi MoA antara YaPEIM) bersama IPK KL itu, ia disifatkan kerjasama pintar yang memberi pengkhususan dalam mengumpul dan mengagihkan dana yang diterima pihak YaPEIM melalui Skim Infaq Gaji (SIG) disumbang warga IPK KL.

"YaPEIM percaya kerjasama yang berlangsung selama lima tahun ini dapat menguntungkan kedua belah pihak terutama daripada segi kadar sumbangan balas berjumlah 50 peratus yang diterima kembali pihak IPK KL yang akan memberi manfaat kepada warganya.

"Kerjasama ini turut membuka ruang kepada YaPEIM dalam mengembeling sumber dana yang diterima bagi pelaksanaan program sosioekonomi dan amal jariahnya yang sudah menabur jasa selama 38 tahun," katanya.

Beliau berkata, pemeteraian MoA itu diharap mampu memperkasakan lagi hubungan rentas institusi awam dan swasta selain dapat membantu institusi-institusi berpotensi lain berkembang dalam bidang kewangan dan kemahiran.

Untuk rekod, sejak tahun 1985 hingga 30 Jun tahun ini, YaPEIM melalui Tabung Amanahnya sudah membuat agihan dana sebanyak RM798 juta yang memanfaatkan 8.19 juta penerima manfaat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2022 @ 5:47 PM