GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam Himpunan #Turun yang dijadualkan berlangsung di hadapan sebuah pusat beli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, esok.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung himpunan itu.

"Tiada notis pemakluman (penganjuran himpunan berkenaan) kepada pihak polis mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyertai (himpunan itu). Tindakan undang-undang akan diambil ke atas mana-mana pihak yang terbabit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan, kira-kira 20 kumpulan pelajar memberi amaran bahawa mereka akan turun ke jalanan untuk mengadakan protes jika kerajaan gagal menangani peningkatan kos sara hidup.

Jurucakap kumpulan itu iaitu Presiden Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Aliff Naif menyenaraikan lima tuntutan terhadap kerajaan termasuk memotong gaji menteri dan timbalannya serta menyediakan bantuan tambahan kepada rakyat.

Tuntutan lain termasuk pemberian subsidi yang berterusan, kawalan harga makanan yang dijual di universiti dan penyelesaian kepada masalah jaminan makanan negara.

Katanya pada sidang media sebelum ini, jika tuntutan-tuntutan itu tidak dipenuhi, mereka akan turun ke jalan raya untuk mengadakan protes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2022 @ 3:04 PM