SUPERINTENDAN Ashari Abu Samah. FOTO NSTP.
SUPERINTENDAN Ashari Abu Samah. FOTO NSTP.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis Wangsa Maju menafikan kelulusan permit dikeluarkan berhubung Perhimpunan Mega Rakyat Demi Palestin seperti dimaklumkan Sekretariat Solidariti Palestin (SSP).

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah sebaliknya berkata, sehingga kini, pihak penganjur masih gagal mengemukakan sebarang pemakluman dan permohonan.

"Bagaimanapun, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju ada mengadakan sesi perjumpaan bersama pihak penganjur perhimpunan itu pada 22 Februari lalu.

"Hasil perjumpaan itu, pihak penganjur dinasihatkan untuk mengemukakan pemakluman dan permohonan permit kepada pihak IPD Wangsa Maju," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru itu, katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak berkumpul atau mengadakan sebarang perhimpunan tanpa kebenaran.

"Tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang tidak mematuhi peraturan atau melanggar undang-undang," katanya.

Terdahulu, media melaporkan himpunan mega yang dirancang SSP pada 2 Mac ini mendapat lampu hijau IPD Wangsa Maju.

Jurucakap SSP, Syed Sheikh Al-Attas Syed Hassan dipetik berkata, pihaknya masih memerlukan kelulusan IPD Dang Wangi serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menggunakan Padang Merbok sebagai lokasi himpunan.

Peserta dijangka berkumpul di bangunan

Tabung Haji di Jalan Tun Razak sebelum berarak ke Padang Merbok.

Antara 'checkpoints' himpunan itu termasuk Kedutaan Amerika Syarikat (AS), Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan Hotel Renaissance.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2024 @ 12:10 AM