ONN Hafiz (dua kanan) melawat mangsa ribut, Juraizan Abdul Wahab (dua kiri) di PPS Dewan Serbaguna Taman Johor Jaya. FOTO Omar Ahmad
ONN Hafiz (dua kanan) melawat mangsa ribut, Juraizan Abdul Wahab (dua kiri) di PPS Dewan Serbaguna Taman Johor Jaya. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad


Johor Bahru: Kerajaan negeri menghulurkan bantuan RM1,000 kepada setiap keluarga mangsa ribut yang terjejas selepas bumbung flat Ros Merah di Taman Johor Jaya di sini diterbangkan angin kencang, semalam.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi yang melawat mangsa ribut di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Taman Johor Jaya di sini turut memberitahu bantuan membaik pulih bumbung flat terbabit akan disegerakan.

"Kerajaan akan beri bantuan kepada mangsa ribut RM1,000 bagi setiap keluarga, manakala proses membaik pulih bumbung flat yang rosak akan dipercepatkan.

"Bagi keluarga yang kediamannya rosak teruk, mereka akan ditempatkan sementara di kediaman lain, itu akan diberitahu nanti," katanya yang meluangkan masa kira-kira 15 minit di PPS Dewan Serbaguna Taman Johor Jaya di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Pengurusan Rumah Pangsa Ros Merah Mohd Fauzi Mokhtar, 57, berterima kasih kepada kerajaan kerana prihatin dengan nasib mereka.

Katanya, bantuan itu sedikit sebanyak mampu mengurangkan beban dan kesedihan yang dialami keluarga yang terjejas.

Dalam insiden ribut dan angin kencang semalam, bumbung enam daripada 10 blok Flat Ros Merah diterbangkan angin menyebabkan kebanyakan rumah penduduk ditingkat empat flat terbabit banjir dan rosak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2022 @ 4:02 PM