Omar Ahmad


Johor Bahru: Seramai 18 keluarga mangsa ribut di Flat Ros Merah, Taman Johor Jaya di sini dipindahkan sementara di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pelangi Indah di sini, bermula hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, kesemua pembiayaan awal dan sewa sehingga hujung tahun ini, bagi 18 keluarga berkenaan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

Katanya, ia termasuk deposit sewa, bil meter air dan elektrik serta sewa bulanan.

"Alhamdulillah, kerajaan Johor bersetuju untuk memberi penyewaan percuma. Ini bermaksud deposit perumahan berharga RM650, bil meter masuk air dan elektrik RM850 dan sewa bulanan RM250, sehingga hujung tahun ini adalah percuma.

"Semalam bantuan wang tunai dari pelbagai pihak kerajaan berjumlah RM2,500 disampaikan kepada 31 keluarga. Hari ini 18 keluarga dikecualikan dari kesemua deposit dan bayaran sewa PPR sehingga bumbung rumah mereka siap dibaik pulih.

"Baki mereka yang tidak berpindah ke PPR ini memilih untuk tinggal bersama saudara-mara mereka. Insya-Allah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Taman Johor Jaya akan ditutup sama ada esok atau lusa, selepas semua urusan mangsa ribut ini selesai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Kunci Sementara PPR Pelangi Indah di sini, hari ini.

Menurut Mohd Jafni, proses membaik pulih bumbung enam blok Flat Ros Merah di Taman Johor Jaya dijangka mengambil masa sehingga dua bulan.

Katanya, kontraktor membaik pulih juga sudah memulakan kerja dan dianggarkan kos melebihi RM1 juta.

"Kerajaan akan selesaikan proses membaik pulih rumah dan dalam masa sama akan menjaga kebajikan mangsa ribut ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2022 @ 5:20 PM
MOHD Jafni (berdiri tengah) bersama sebahagian mangsa ribut selepas penyerahan kunci sementara di PPR Pelangi Indah. FOTO Omar Ahmad
MOHD Jafni (berdiri tengah) bersama sebahagian mangsa ribut selepas penyerahan kunci sementara di PPR Pelangi Indah. FOTO Omar Ahmad