Omar Ahmad

Johor Bahru: "Sepanjang usia saya 50 tahun dan menetap di flat Ros Merah ini sejak 1999, inilah kejadian ribut paling buruk pernah terjadi," kata suri rumah, Rosliza Jaafar.

Rosliza yang menetap di tingkat empat Blok E berkata, ketika kejadian dia bersama suami sedang mengemas dan melihat bumbung di blok sebelah diterbangkan angin jam 1.15 tengah hari.

Katanya, tidak lama kemudian, sebatang kayu dari bumbung sebelah masuk ke kediamannya, sebelum bumbung rumah diterbangkan ribut kuat.

"Selepas bumbung diterbangkan angin, hujan lebat sehingga segala perkakasan dalam rumah rosak.

"Masa itu hanya Allah saja yang tahu perasaan saya, terlalu takut. Tidak pernah terjadi kejadian seumpama ini. Hujan lebat kira-kira 30 minit, angin dan ribut kencang.

"Memang tidak sempat selamatkan barang-barang. Tidak sangka duduk di tingkat empat boleh banjir," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

BANJIR di kediaman penduduk di tingkat empat flat Ros Merah di Taman Johor Jaya selepas bumbung diterbangkan ribut. FOTO Omar Ahmad
BANJIR di kediaman penduduk di tingkat empat flat Ros Merah di Taman Johor Jaya selepas bumbung diterbangkan ribut. FOTO Omar Ahmad

Dalam kejadian itu, seramai 50 keluarga terjejas membabitkan enam blok daripada 10 blok.

Rata-rata mangsa adalah penduduk yang menetap di tingkat empat.

Pekerja kilang, Nizam Maskam, 45, berkata, dia hanya ingat menyelamatkan kedua ibu bapanya yang uzur di dalam rumah.

Katanya, bapanya, Maskam Sarbini, 80, dan ibunya, Masitah Yusuf, 82, tinggal bersamanya di tingkat empat Blok H.

"Sebelum hendak keluar Solat Jumaat, saya lihat angin kencang dengan hujan lain macam.

"Apabila tiba-tiba bumbung rumah terbang, perkara pertama yang saya cari ialah mak ayah. Saya terus angkat mak dan ayah ke beranda, ini adalah kejadian paling teruk.

"Tiada barang apa dapat diselamatkan semuanya basah dan rosak termasuk perkakasan elektrik," katanya yang menetap lebih 20 tahun di kawasan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2022 @ 8:43 PM