Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Ops Puspakom akan dilaksana di seluruh negara bagi mengurangkan risiko kemalangan khususnya ke atas kenderaan perdagangan, dan turut disertai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim berkata, buat julung kalinya ia akan dilaksana di semua Puspakom atau Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer di negara ini.

"Kita tidak akan maklum terlebih dahulu bila akan masuk bersama SPRM ke Puspakom.

"Ini menunjukkan suatu komitmen tinggi kita untuk memastikan kenderaan yang melalui proses pemeriksaan, apabila keluar ia dalam keadaan status yang cukup bersedia untuk digunakan.

"Kenderaan itu (apabila selesai disemak) tanpa memberi sebarang bentuk ancaman keselamatan dari segi mekanikal dan teknikal yang tidak lengkap," katanya pada sidang media di Puspakom Wangsa Maju, di sini, hari ini.

Pegawai dan anggota JPJ melakukan pemeriksaan keatas kenderaan ketika Ops Khas “Roadworthiness” kenderaan perdagangan yang melakukan pemeriksaan di Puspakom, Wangsa Maju, Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Pegawai dan anggota JPJ melakukan pemeriksaan keatas kenderaan ketika Ops Khas “Roadworthiness” kenderaan perdagangan yang melakukan pemeriksaan di Puspakom, Wangsa Maju, Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Terdahulu, pasukannya membuat pemeriksaan awal di Puspakom Wangsa Maju di sini dan memeriksa 256 kenderaan.

Zailani berkata, pasukan kejuruteraan automotif JPJ tidak hanya terdapat di ibu pejabat, bahkan di pejabat-pejabat negeri sekali gus berupaya melakukan pemeriksaan di Puspakom sekurang-kurangnya sekali seminggu.

"Pemeriksaan itu bagi melihat sama ada penilaian ke atas kenderaan (oleh Puspakom) dibuat dengan lancar dan mengikut tatacara sebenar, yang sepatutnya.

"Pihak Puspakom diminta untuk melaksanakan operasi dalaman secara lebih kerap dan mereka ada audit sendiri, ada tatacara sendiri, jadi akan diperhatikan oleh pasukan kejuruteraan automotif JPJ," katanya.

Menurutnya, semakan semula mengutamakan keselamatan tinggi terhadap kenderaan lebih-lebih lagi tayar dan brek.

Dalam operasi hari ini, 140 daripada kenderaan diperiksa diambil tindakan dengan 73 saman dikeluarkan.

"Malah dalam operasi hari ini ujian saringan air kencing ke atas 12 pemandu mendapati tiga daripadanya positif dadah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2022 @ 5:48 PM