Mahaizura Abd Malik


URUSAN pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kenderaan perdagangan ringan had berat dengan muatan (BDM) 7.5 tan dan ke bawah, kini boleh dilaksanakan di Pusat Pemeriksaan Berkomputer (Puspakom).

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, perkhidmatan ini ditawarkan di Puspakom kerana memberi nilai tambah dan kemudahan kepada orang ramai dalam urusan memperbaharui LKM mereka.

“Bermula 3 Februari lalu, pelanggan boleh memperbaharui LKM kategori itu di Puspakom Wangsa Maju sebelum diperluaskan secara berperingkat di semua 54 cawangan pusat pemeriksaan Puspakom dalam masa tiga bulan.

“Inisiatif ini akan memberi pelanggan lebih pilihan lokasi dan menjimatkan dalam menguruskan permohonan pembaharuan LKM mereka, selain di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya pada Majlis Pelancaran Perkhidmatan Pembaharuan LKM di Puspakom Wangsa Maju, Kuala Lumpur, hari ini.

GAMBAR hiasan. Arkib NSTP.
GAMBAR hiasan. Arkib NSTP.

Turut hadir, Ketua Pengarah JPJ Datuk Sri Shaharuddin Khalid dan Ahli Lembaga Pengarah Puspakom Sdn Bhd Datuk Kamarudin Md Ali serta Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom Shukor Ismail.

Beliau berkata, kerajaan juga merancang memperluaskan perkhidmatan itu kepada kenderaan lain termasuk kenderaan persendirian dari semasa ke semasa.

“Memang ada pelbagai usaha lain kita harap dapat dilaksanakan untuk kemudahan kebaikan orang ramai. Ia selepas sistem dilaksanakan di Puspakom ini berjalan lancar dan stabil,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Februari 2020 @ 12:22 PM