Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Tujuh warga China termasuk seorang wanita dihadapkan di Mahkamah Majistret Seri Manjung, di sini, hari ini, atas pertuduhan memasuki dan berada dalam negara ini tanpa dokumen yang sah, bulan lalu.

Bagaimanapun, hanya dua tertuduh iaitu masing-masing seorang lelaki dan wanita saja mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Pengakuan itu direkodkan di hadapan Majistret A Hafiizh Abu Bakar selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam Bahasa Mandarin.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM4,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda terhadap tertuduh wanita, Dai Bao Xi, 54.

Sementara, Guo Fei, 48, pula dijatuhkan hukuman denda RM5,000 atau lapan bulan penjara jika gagal membayar denda dan satu sebatan.

Mahkamah membenarkan permohonan peguam mewakili tertuduh untuk menangguhkan hukuman sebatan dengan memfailkan notis rayuan.

Kedua-dua tertuduh membayar denda itu dan dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, lima lagi lelaki iaitu Li Tao, 23; Lin Zhi Chuang, 27, Guo Feng Jie, 29; Zhang Zheng Long, 29, dan Chen Yuan Zho, 28, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 1 September ini untuk sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.

Mengikut kertas pertuduhan, semua tertuduh didapati masuk dan berada negara ini tanpa sebarang dokumen perjalanan yang sah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di dua unit berbeza iaitu No. 1712 dan No. 1211, Apartment Desair Jalan Lumut pada 25 Julai lalu.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih dari RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-dua sekali dan sebat tidak lebih dari enam kali sebatan, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Nurjihan Jaya dan Timbalan Pendakwa Raya, R Rishan Kumar, manakala semua tertuduh diwakili peguam, Muhammad Syafiq Salleh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2022 @ 5:38 PM
Tujuh  individu warga China termasuk seorang wanita mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Seri Manjung, di sini, hari ini atas pertuduhan masuk ke negara ini tanpa dokumen sah. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI
Tujuh individu warga China termasuk seorang wanita mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Seri Manjung, di sini, hari ini atas pertuduhan masuk ke negara ini tanpa dokumen sah. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI