TERTUDUH (kiri) didapati bersalah terhadap 16 pertuduhan atas kesalahan imigresen di Mahkamah Sesyen Imigresen, Pontian, hari ini.
TERTUDUH (kiri) didapati bersalah terhadap 16 pertuduhan atas kesalahan imigresen di Mahkamah Sesyen Imigresen, Pontian, hari ini.
Junita Mat Rasid


MAHKAMAH Sesyen Imigresen, Pontian, hari ini menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan lapan bulan terhadap buruh binaan warga Bangladesh selepas mengaku bersalah atas 16 pertuduhan menyimpan pasport, memalsukan dokumen visa serta menyalahgunakan pas lawatan, bulan lalu.

Selain itu, tertuduh Md Mohiuddin Mamun, 40, turut didenda RM30,000 serta dua sebatan.

Hakim Zahilah Md Yusof menjatuhkan hukuman itu selepas lelaki terbabit mengaku bersalah terhadap pertuduhan terbabit.

Lelaki itu berdepan 14 pertuduhan menyimpan pasport milik orang lain dan kesalahan didakwa mengikut Seksyen 12 (1) (f) Akta Passport 1966 yang membawa hukuman maksimum denda RM10,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut menghadapi pertuduhan salah guna pas lawatan dan didakwa mengikut Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 yang membawa hukuman denda sehingga RM1,000 atau enam bulan penjara, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan memalsu atau meminda dokumen, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 56 (1A) (a) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dibaca bersama Seksyen 55D akta sama yang membawa hukuman tidak kurang RM30,000 dan penjara sehingga 10 tahun serta boleh dikenakan sebatan sehingga enam kali, jika sabit kesalahan.

Kesemua perbuatan terbabit didakwa dilakukan di sebuah rumah sewa di Jalan Wong Ah Fook, Johor Bahru antara jam 4 hingga 5 petang pada 27 Ogos lalu.

Prosiding dikendalikan Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Norzuriana Muhammad Nor, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara kerana tidak mempunyai wang untuk membayar denda selain mendakwa menjadi mangsa keadaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 September 2018 @ 7:51 PM