Mohamad Zulhe dipenjara 18 bulan, dua sebatan selepas bersalah pecah amanah kutipan wang kiosk. FOTO Alias Abd Rani
Mohamad Zulhe dipenjara 18 bulan, dua sebatan selepas bersalah pecah amanah kutipan wang kiosk. FOTO Alias Abd Rani
Alias Abd Rani


Muar: Bekas ejen kutipan wang mesin kiosk dipenjara 18 bulan serta dua sebatan selepas mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan pecah amanah, tahun lalu.

Tertuduh, Mohamad Zulhe Ahamad Jalil, 32, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Irwan Suainbon.

Dia tidak diwakili peguam sebelum ini didakwa atas tuduhan pecah amanah sebanyak RM15,000 hasil bayaran kiosk di Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Muar dan Syarikat Air Johor (SAJ) Tangkak, antara Julai hingga Ogos tahun lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan dengan penjara sehingga 14 tahun, sebatan serta boleh dikenakan denda.

Dalam penghakimannya, Irwan berkata, hukuman itu diputuskan selepas mengambil kira rayuan tertuduh serta hujahan daripada pihak pendakwaan.

"Mahkamah mendapati kes ini serius kerana menyebabkan pengadu mengalami kerugian. Pada masa sama, hukuman ini juga menjadi pengajaran serta peringatan kepada masyarakat," hujahnya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan, satu sebatan serta denda RM1,000 bagi setiap pertuduhan dengan hukuman penjara berjalan serentak melainkan sebatan.

Tertuduh juga boleh dikenakan penjara tambahan sebulan sekiranya gagal membayar denda.

Terdahulu, pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Nur Sulehan Abd Rahman memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal.

Pada 19 Oktober lalu, mahkamah sama pernah menegur tertuduh kerana gagal hadir pada hari sebutan kes menyebabkan ikat jamin sebanyak RM10,000 yang dikenakan terhadapnya ditarik balik.

Sebutan pertama kes itu ialah pada 21 September lalu namun tertuduh serta isterinya yang juga penjamin, Sarina Mahmood, 35, tidak muncul.

Pada masa sama, peguam tertuduh, Nor Hafizah Abdullah daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) juga gagal menghubungi sebelum memutuskan untuk menarik diri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2023 @ 3:21 PM