Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Pembantu kebun sayur dijatuhi hukuman penjara 18 bulan dan didenda RM3,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Seri Manjung, di sini, hari ini atas pertuduhan menculik seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, Khamis lalu.

Tertuduh, Muhamad Faizzuan Zulkifli, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret A Hafiizh Abu Bakar.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati menculik seorang kanak-kanak perempuan daripada penjagaan ibu kandungnya berusia 37 tahun.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan kedai My Pet Zone, Seri Manjung pada 11.30 pagi, 20 Mei lalu.

MUHAMAD Faizzuan dipenjara 18 bulan atas pertuduhan menculik seorang kanak-kanak perempuan. FOTO Noor Hidayah Tanzizi.
MUHAMAD Faizzuan dipenjara 18 bulan atas pertuduhan menculik seorang kanak-kanak perempuan. FOTO Noor Hidayah Tanzizi.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khazrin Haffiz Khalil, manakala tertuduh diwakili peguam, Khoo Kok Tong.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman 18 bulan penjara berkuat kuasa dari tarikh ditahan dan denda RM3,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda.

Sebelum ini media melaporkan, lelaki melarikan Perodua Bezza bersama kanak-kanak berusia 12 tahun pada 11.30 pagi, Khamis lalu sebelum cuba dihalang ibu kanak-kanak itu, namun gagal.

Suspek kemudiannya ditahan dengan bantuan orang awam dan kereta bersama kanak-kanak itu dapat diselamatkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Mei 2021 @ 12:17 PM