DUA daripada tiga beranak yang didakwa mendera kanak-kanak dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Pilah, hari ini. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap.
DUA daripada tiga beranak yang didakwa mendera kanak-kanak dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Pilah, hari ini. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap.
Abnor Hamizam Abd Manap


Kuala Pilah: Tiga beranak termasuk bakal penuntut Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tuduhan mendera kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, bulan lalu.

Suami isteri, R Guna Silan, 42, dan isterinya K Nagamah ,41, dan anak perempuan mereka G Nisha, 21, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama sebagai penjaga kepada kanak-kanak itu telah mendera mangsa menggunakan rotan dan memukul, menendang serta menyimbahnya dengan air panas.

Perbuatan itu didakwa dilakukan ketiga-tiga tertuduh di sebuah rumah di Taman Seri Mahsan, Bandar Seri Jempol antara 15 hingga 19 Julai lalu, yang mengakibatkan mangsa cedera di bahagian dada, belakang badan, kedua-dua belah kaki, kepala dan muka.

Pertuduhan atas tiga beranak itu mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seskyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda tidaK melebihi RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi yang mencadangkan agar semua tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin.

Peguam Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris yang mewakili semua tertuduh merayu anak guam mereka diberikan jaminan minimum mengambil kira mereka memberi kerjasama baik kepada polis selain seorang daripada tertuduh akan melanjutkan pengajian ke IPTA, September ini.

Hakim membenarkan jaminan RM5,000 setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2022 @ 12:30 PM