Maung Thain Khain dibawa ke Mahkamah Majistret Jelebu untuk perbicaraan. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Maung Thain Khain dibawa ke Mahkamah Majistret Jelebu untuk perbicaraan. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Lelaki warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang lelaki rakan senegaranya, baru-baru ini.

Tertuduh, Maung Thain Khain, 40, bagaimanapun tidak memahami pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Muhammad Hidayat Wahab.

Berikutan itu, mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 10 November ini dengan kehadiran jurubahasa.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 10.04 malam 16 Oktober hingga 3.30 pagi 17 Oktober lalu di sebuah kilang di Taman Industri Mahsan, Jempol.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menyebabkan kematian Moe Naing dalam kejadian yang berlaku di Taman Industri Mahsan dan melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Zuria Anis Mahassan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Di mahkamah sama, tertuduh turut dituduh memasuki negara ini tanpa dokumen yang sah.

Berikutan itu, tertuduh dituduh mengikut Seksyen 6 (1)(C) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) (Pindaan 2002) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 6 (3) akta yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 4:29 PM