Rosli Ilham

Chukai: Nelayan asing bertindak menghanyutkan tali pukat ke dalam laut bagi merosakkan kipas kapal peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ketika bot mereka dikejar bagi mengelak ditahan, kelmarin.

Bagaimanapun, usaha mereka gagal apabila dua bot nelayan Vietnam itu berjaya ditahan pada jarak 50 dan 60 batu nautika dari Kuala Kemaman kira-kira 8.30 pagi serta 9 pagi untuk siasatan.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, sebelum itu kapal peronda melakukan rondaan Ops Naga Barat di perairan negeri bagi mengekang pencerobohan nelayan asing.

Menurutnya, anggotanya terserempak dengan dua bot nelayan Vietnam sedang leka melakukan aktiviti menangkap ikan secara haram dengan menggunakan kaedah tunda ganding.

"Menyedari kehadiran kami, kedua-dua bot terbabit bertindak melarikan diri ke sempadan perairan Indonesia sebelum dikejar kapal peronda.

"Ketika dikejar, nelayan asing terbabit bertindak memotong pukat mereka dan bertindak menghanyutkan tali bagi tujuan merosakkan kapal ronda kami," katanya.

Rashidilhadi Abd Rashid (kiri) menyoal siasat nelayan asing yang ditahan. FOTO ROSLI ILHAM
Rashidilhadi Abd Rashid (kiri) menyoal siasat nelayan asing yang ditahan. FOTO ROSLI ILHAM

Bagaimanapun katanya, usaha nelayan asing itu tidak berjaya, sebaliknya kedua-dua bot nelayan Vietnam itu berjaya ditahan selepas dikejar sekitar 30 minit.

"Kita juga mengesan taktik salah sebuah bot itu yang mencurah minyak hitam di permukaan pelantar bot mereka supaya anggota kami terjatuh ketika memijaknya.

"Kesemua kru termasuk tekong berusia 19 hingga 64 tahun didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan siasatan juga mendapati bot mereka tidak mempunyai permit sah untuk menangkap ikan," katanya.

Katanya, kedua-dua bot dan nelayan terbabit dibawa ke Pengkalan Maritim Kemaman untuk tindakan lanjut.

"Kita turut merampas kira-kira 1,000 liter diesel, pelbagai jenis ikat seberat kira-kira tiga tan dan peralatan menangkap ikan dengan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM3.2 juta.

"Kes akan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit yang sah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2022 @ 4:34 PM