Bot nelayan Vietnam yang ditahan kerana menceroboh perairan negara dan mencuri hasil laut. FOTO IHSAN APMM
Bot nelayan Vietnam yang ditahan kerana menceroboh perairan negara dan mencuri hasil laut. FOTO IHSAN APMM
Zatul Iffah Zolkiply

Chukai: Cubaan sebuah bot nelayan asing yang menggunakan nombor pendaftaran tempatan disyaki palsu bagi mengaburi pihak berkuasa gagal apabila ditahan ketika menangkap ikan di perairan negara, semalam.

Bot nelayan dipercayai dari Vietnam itu ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kira-kira 35 batu nautika timur laut Kuala Kemaman pada 4.10 pagi.

Pengarah APMM Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, pihaknya mengesan bot berkenaan dalam keadaan mencurigakan berikutan ciri dan struktur fizikalnya menyerupai bot nelayan Vietnam, namun menggunakan nombor patil tempatan.

Katanya, pemeriksaan mendapati terdapat sembilan nelayan warga Vietnam termasuk tekong berusia 28 hingga 50 tahun yang mengemukakan dokumen pengenalan diri, permit kerja serta lesen bot meragukan.

"Kesemua nelayan itu ditahan dan kita merampas peralatan menangkap ikan, 1,000 liter diesel dan 500 kilogram sotong dengan nilai rampasan dianggarkan RM1.4 juta.

"Mereka dibawa ke Jeti Zon Maritim Kemaman untuk menjalani saringan Covid-19 terlebih dahulu dan siasatan dibuat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Rashidilhadi berkata, pihaknya akan terus membanteras kegiatan pencerobohan nelayan asing khususnya dari Vietnam.

Katanya, APMM akan menggunakan pelbagai kaedah bagi melindungi hasil laut negara daripada dicuri dan dirompak nelayan-nelayan asing.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Mei 2021 @ 6:54 PM