Rashidilhadi (berdiri kanan) memeriksa sebahagian daripada dua tan ikan yang dirampas selepas menahan sebuah bot nelayan Vietnam. FOTO Rosli Ilham
Rashidilhadi (berdiri kanan) memeriksa sebahagian daripada dua tan ikan yang dirampas selepas menahan sebuah bot nelayan Vietnam. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


DUA tan ikan dirompak sebuah bot nelayan asing dalam tempoh beberapa hari menceroboh perairan Terengganu.

Bagaimanapun, perbuatan 14 awak termasuk tekong bot warga Vietnam itu berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas menahan mereka kira-kira 117 batu nautika dari Kuala Kemaman, 10.05 pagi semalam.

Pengarah APMM Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, bot nelayan asing itu ditahan hasil Op Iman yang dilaksanakan bagi mengekang pencerobohan perairan negara.

Katanya, ketika kapal peronda APMM menghampiri bot itu mereka cuba melarikan diri.

“Bagaimanapun kapal APMM berjaya memintas bot nelayan asing terbabit sebelum mengarahkan tekong bot segera berhenti.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot itu menggunakan nombor pendaftaran bot tempatan dipercayai palsu termasuk memasang Jalur Gemilang untuk mengaburi pihak berkuasa.

“Pemeriksaan lanjut mendapati nelayan dan tekong yang berusia 26 hingga 48 tahun tiada dokumen pengenalan diri sah,” katanya pada sidang akhbar di Jeti APMM Kemaman hari ini.

Rashidilhadi berkata, pihaknya percaya bot itu baru beberapa hari menceroboh perairan negara dan didapati merompak dua tan ikan hasil laut negara.

“Kita turut merampas peralatan menangkap ikan bersama bot terbabit yang dianggarkan keseluruhannya bernilai RM1 juta.

“Bot serta semua nelayan itu dibawa ke Jeti APMM Kemaman untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 kerana beroperasi tanpa lesen sah daripada Pengarah Perikanan Malaysia serta Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 7:06 PM