Bot nelayan Vietnam yang ditahan Maritim Malaysia di 47 batu nautika dari Tanjung Mat Amin, Chukai semalam. FOTO Rosli Ilham
Bot nelayan Vietnam yang ditahan Maritim Malaysia di 47 batu nautika dari Tanjung Mat Amin, Chukai semalam. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham

NELAYAN Vietnam dikesan menukar taktik dengan menjadikan waktu awal pagi sebagai masa terbaik menceroboh perairan negara bagi mengelak kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

Bagaimanapun, cubaan mereka mencuri hasil negara gagal selepas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot bersama seorang tekong dan tiga awak-awak dengan rampasan dianggarkan bernilai hampir RM1 juta.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, bot itu ditahan di kedudukan 47 batu nautika dari Tanjung Mat Amin, Chukai kira-kira 1.20 pagi semalam.

Menurutnya, kapal peronda yang melakukan rondaan di sekitar perairan terserempak dengan bot berkenaan yang sedang menangkap ikan.

“Bot nelayan yang menggunakan nombor pendaftaran bot nelayan tempatan itu cuba melarikan diri bagaimanapun gagal kerana berjaya dipintas.

“Hasil pemeriksaan mendapati empat lelaki warga Vietnam berusia 21 hingga 26 tahun itu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan juga mendapati bot berkenaan tidak mempunyai lesen kebenaran menangkap ikan serta permit kerja yang meragukan.

“Kita mengesyaki mereka menggunakan bot yang diklonkan dan menggunakan nombor pendaftaran bot tempatan bagi mengelak ditahan,” katanya.

Rashidilhadi berkata, pihaknya percaya bot itu baharu memasuki perairan negara berdasarkan penemuan hasil tangkapan ikan yu seberat 20 kilogram.

“Bot berserta hasil dan peralatan menangkap ikan yang dianggarkan bernilai RM1 juta dibawa ke Jeti Zon Maritim Kemaman untuk siasatan lanjut,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM 1 juta bagi pemilik dan tekong bot manakala RM100,000 bagi awak-awak atau penjara tidak melebihi dua tahun, jika sabit kesalahan.

“Kita akan terus mempertingkatkan rondaan di perairan negara tanpa mengira waktu bagi membanteras kegiatan pencerobohan dalam usaha memastikan perairan negara selamat dan terpelihara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 5:50 PM