BOT nelayan Vietnam yang ditahan dibawa masuk ke jeti APMM Kemaman untuk siasatan lanjut. FOTO Rosli Ilham
BOT nelayan Vietnam yang ditahan dibawa masuk ke jeti APMM Kemaman untuk siasatan lanjut. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham

Chukai : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), menahan sebuah bot nelayan Vietnam pada jarak 128 batu nautika dari Kuala Kemaman, pagi kelmarin.

Pengarah Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, bot terbabit bersama 22 awak termasuk tekong warga Vietnam itu ditahan kira-kira jam 10.40 pagi.

Menurutnya, sebelum tangkapan, kapal Maritim Gemia sedang melakukan operasi Iman dan operasi Kuda Laut di kawasan itu sebelum terserempak dengan bot terbabit.

"Anggota kami mengejar bot terbabit dan berjaya memintas sebelum menahannya dan ketika pemeriksaan mendapati seorang tekong dan awak berusia 17 hingga 54 tahun berada di dalam bot terbabit.

"Siasatan lanjut mendapati tekong gagal mempamerkan lesen bot, permit kerja dan kesemua mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rashidilhadi berkata, pemeriksaan juga menemui hasil tangkapan, bekalan diesel, bot dan peralatan menangkap ikan dianggarkan keseluruhan bernilai hampir RM 1.5 juta.

"Semua tahanan dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Kemaman untuk menjalani saringan Covid-19 oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum kes diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

"Kes akan disiasat mengikut seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menjalankan aktiviti menangkap ikan di perairan negara tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia," katanya.

Katanya, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan PKP dilaksanakan, sebanyak 89 buah bot nelayan asing diusir daripada memasuki perairan negara.

"Operasi Kuda Laut dilaksanakan sejak 26 Jun lalu, sebanyak 55 bot nelayan Vietnam membabitkan 610 orang warga Vietnam ditahan" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2020 @ 5:04 PM