Rosli Ilham

Chukai: Empat lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kemaman di sini, hari ini, atas tuduhan membakar seorang remaja berusia 15 tahun sehingga melecur, 22 Julai lalu.

Bagaimanapun, kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.

Shaikh Hilman Hakim Shaikh Anuar, 28, didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah menggunakan api terhadap Muhammad Fiqrie Adam Abdullah, 15.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di simpang empat Kampung Perasing Jaya, Jabor, kira-kira 3 pagi 22 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan kerana kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Sesyen.

Mahkamah menetapkan 1 Ogos ini untuk sebutan semula.

SHAIK Hilman Hakim ketika di Mahkamah Majistret Kemaman, hari ini. FOTO Rosli Ilham.
SHAIK Hilman Hakim ketika di Mahkamah Majistret Kemaman, hari ini. FOTO Rosli Ilham.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurhanisah SH Sahul Hamid dan tertuduh diwakili peguam, Nurul Farhana Shamsudin.

Sementara itu di mahkamah sama, tiga lagi tertuduh mengaku tidak bersalah mendatangkan kecederaan kepada mangsa di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Muhammad Imran Mohamad, 18, Mohamad Razif Mohammad dan Mohamad Razman Zalizan masing-masing berusia 20 tahun didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Mahkamah membenarkan ketiga-tiga tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,800 seorang.

Kesemua tertuduh juga dikenakan syarat tambahan iaitu tidak boleh mengganggu saksi mangsa dan saksi pendakwaan.

Mahkamah juga menetapkan 8 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2022 @ 4:58 PM