Rosli Ilham

Chukai: Sembilan pelajar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kemaman, hari ini atas tuduhan mendatangkan kecederaan kepada tiga rakan mereka di asrama sekolah, 23 Ogos lalu.

Kesemua tertuduh yang berusia 16 tahun membuat pengakuan itu selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.

Mengikut tuduhan, kesemua mereka didakwa menyebabkan kecederaan dengan menumbuk dan menyepak ketiga-tiga mangsa yang berusia 15 tahun di asrama sekolah terbabit pada 11.30 malam.

TERTUDUH di Mahkamah Majistret Kemaman. FOTO Bernama
TERTUDUH di Mahkamah Majistret Kemaman. FOTO Bernama

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara satu tahun dan denda tidak melebihi RM2,000 atau Kedua-duanya sekali.

Mereka diwakili peguam Akmal Wahidah Abd Halim manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azahani Azman.

Mahkamah membenarkan kesemua tertuduh dijamin antara RM2,000 hingga RM5,500 dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 12 Oktober nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2022 @ 1:45 PM