GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Polis membuka kertas siasatan bagi menyiasat hantaran tular di media sosial membabitkan seorang guru yang didakwa mendera murid perempuan autistik sehingga telinganya lebam di sebuah sekolah pendidikan khas di Seberang Jaya, dekat sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, pihaknya mengambil maklum berhubung perkara yang ditularkan di laman sosial.

Menurutnya, satu laporan polis dibuat ibu kepada murid perempuan terbabit sejurus kejadian yang berlaku kira-kira 9.30 pagi, 19 Julai lalu.

"Hasil siasatan polis mendapati mangsa adalah kanak-kanak yang menghadapi masalah autisme dan mengikuti kelas pendidikan khas di sebuah sekolah pendidikan khas di Seberang Jaya.

"Ketika kejadian mangsa dikatakan bertindak agresif di dalam kelas hingga menyebabkan pelajar lain takut dan menangis.

"Akibat tindakan kanak-kanak itu, suspek yang juga guru wanita berusia lingkungan 30-an datang dan memegang kedua-dua belah telinga mangsa untuk menenangkan mangsa, namun tindakan suspek menyebabkan kedua-dua telinga mangsa mendapat kesan lebam," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk rawatan lanjut.

"Polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terus menularkan kejadian itu kerana ia boleh menyebabkan kekeliruan dan kegelisahan masyarakat," katanya.

Terdahulu, seorang pengguna Facebook (FB) memuat naik maklumat berkenaan kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang juga autisme mengalami kecederaan di telinga didakwa didera oleh gurunya di sebuah sekolah di Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2022 @ 7:13 PM