GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izad Thaqif Hassan


Kulim: Hanya kerana menghilangkan buku matematik, seorang murid perempuan Tahun Lima lebam lengan kiri serta bengkak pipi selepas dipukul guru wanita ketika sesi pembelajaran dalam kelas di sebuah sekolah rendah, dekat sini semalam.

Kejadian itu diketahui ibu kepada murid berkenaan sebelum membuat laporan polis pada 5 petang kerana tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku terhadap anaknya.

Menurut sumber, hasil siasatan awal mendapati ibu kanak-kanak itu mengetahui perkara berkenaan daripada nenek mangsa yang menghubungi dan memaklumkan kejadian menimpa murid terbabit.

"Mendengarkan anaknya mengalami kecederaan akibat dipukul guru, ibu mangsa kemudian membuat laporan polis sebelum mangsa dibawa menjalani pemeriksaan di Hospital Kulim.

"Setakat ini, siasatan awal polis mendapati kanak-kanak itu dipukul gurunya kerana dia menghilangkan buku matematik," katanya.

Sumber berkata, setakat ini siasatan menyeluruh sedang serta masih dijalankan termasuk akan mengambil keterangan daripada guru wanita berusia 40-an yang didakwa memukul mangsa itu.

"Selain itu, kita juga sudah memaklumkan kejadian terbabit kepada pegawai perhubungan serta pihak sekolah itu sendiri bagi memudahkan siasatan dilakukan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Mohd Redzuan Salleh ketika dihubungi mengesahkan kejadian berhubung kes terbabit namun enggan mengulas lanjut mengenainya kerana masih dalam siasatan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mei 2022 @ 12:41 PM