ISMAIL Sabri. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
ISMAIL Sabri. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Raja Noraina Raja Rahim


Petaling Jaya: Perdana Menteri mengumumkan pemberian dana berjumlah RM100 juta kepada UDA Holdings Berhad (UDA) bagi membangunkan pusat komersial dan membantu usahawan Bumiputera mendapatkan ruang perniagaan.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, status sosioekonomi Bumiputera masih di tahap rendah dan pembabitan usahawan Bumiputera perlu dipertingkatkan bukan lagi di sektor informal tetapi sektor formal seperti menjalankan perniagaan di pusat beli-belah yang disasarkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Katanya, kerajaan akan menyemak semula pengurusan pusat beli-belah dimiliki syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya diuruskan syarikat tempatan sekali gus membolehkan peniaga Bumiputera menjalankan perniagaan mereka.

"Penyediaan ruang niaga yang kondusif di kompleks beli-belah UDA lebih-lebih lagi dengan lokasinya yang strategik, menggambarkan UDA sentiasa fokus dalam memperkasa Keluarga Usahawan serta membuka peluang bagi mereka menjalankan perniagaan di kawasan maju dan kompetitif.

"Justeru, saya menyeru supaya UDA dapat menjual atau menyewakan ruang perniagaan yang sedia ada pada kadar mampu ditanggung usahawan Bumiputera yang berpotensi mengembangkan perniagaan mereka.

"Ini untuk membolehkan usahawan Bumiputera berniaga dalam suasana lebih selesa dan dalam masa sama dapat meningkatkan status mereka sebagai usahawan berjaya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-50 UDA dan pelancaran penjenamaan baharu 'Life' di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar serta Pengerusi UDA Datuk Norliza Abdul Rahim.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, UDA perlu menggandakan pembabitan dalam sektor perniagaan dan hartanah bagi merancakkan semula ekonomi khususnya dalam membantu usahawan Bumiputera untuk terus maju.

Katanya, kerajaan juga sentiasa komited dalam memperkasa Bumiputera dengan peruntukan sebanyak RM11.4 bilion dalam Bajet 2022.

Dalam pada itu, beliau bangga dengan kejayaan UDA selama 50 tahun membantu membangunkan negara yang menyinari kehidupan masyarakat seperti yang diabadikan dalam buku 'UDA 50 Tahun, Bersama Meneruskan Legasi' yang dilancarkan pada majlis itu.

"Saya berharap pencapaian ini akan menyemarakkan lagi keazaman generasi masa kini untuk terus melakar kejayaan seperti yang dikecapi UDA.

"Namun, UDA tidak harus merasa puas hati atas pencapaiannya selama ini kerana sektor hartanah dan perniagaan sentiasa berkembang," katanya.

Susulan itu, katanya, UDA dan kerajaan akan terus mengarusperdanakan pembangunan mampan selaras dengan perancangan pembangunan negara termasuk RMK12, Bajet 2022 dan Dasar Keusahawanan Negara 2030.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Julai 2022 @ 11:00 PM