NOH (tengah) bersama wakil penerima pakej insentif penerima pinjaman TEKUN Nasional kepada usahawan UDA. FOTO Nurul Amanina Suhaini.
NOH (tengah) bersama wakil penerima pakej insentif penerima pinjaman TEKUN Nasional kepada usahawan UDA. FOTO Nurul Amanina Suhaini.
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) komited memastikan usahawan di kompleks beli belah milik UDA Holdings Berhad (UDA) kembali menjalankan operasi perniagaan sepenuhnya menjelang Disember ini.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar, berkata, terdapat 847 unit premis perniagaan membabitkan empat kompleks membeli belah utama milik UDA seluruh negara iaitu di Ipoh, Seremban, Johor Bahru dan Kuala Lumpur.

Katanya, ia selari dengan hasrat kementerian dalam memulihkan perniagaan serta meneruskan kelangsungan hidup terutama bagi usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana.

"Sehingga kini, sudah hampir 800 unit kedai sudah memulakan perniagaan, namun tidak dinafikan kehadiran pengunjung hanya kira-kira 50 peratus sebulan.

"Selain pengoperasian kesemua premis perniagaan, UDA juga menjalin kerjasama dengan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) bagi membantu usahawan memulakan perniagaan.

"Sekiranya usahawan mahu kembali berniaga tetapi tidak ada modal, mereka akan diberikan bantuan dan jumlah itu bergantung kepada penilaian TEKUN Nasional," katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di Angsana Johor Bahru Mall, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, UDA memperuntukkan insentif sebanyak RM33.4 juta bagi membantu 847 usahawan yang menyewa dan berniaga di premis pusat beli-belah seliaannya di seluruh negara.

Katanya, insentif berupa pengecualian, diskaun dan tunggakan sewa itu diberikan sebagai usaha membantu kelangsungan usahawan serta memperbaiki aliran tunai di waktu pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 November 2021 @ 8:18 PM