NORLIZA (dua dari kanan) melihat antara projek hartanah UDA di wilayah selatan.
NORLIZA (dua dari kanan) melihat antara projek hartanah UDA di wilayah selatan.

Johor Bahru: Syarikat pemaju hartanah, pengurusan aset dan fasiliti, UDA Holdings Berhad (UDA) menyasarkan lonjakan bagi perniagaan di wilayah selatan menerusi pelancaran projek hartanah baharu dan pelbagai inisiatif terkini pusat beli-belah.

Pengerusinya Datuk Norliza Abdul Rahim, berkata, syarikat itu terus mengorak langkah dalam merancang pelan terbaik bagi memajukan perniagaan di wilayah selatan terutama sekali dari segi hartanah serta pusat beli-belah.

Katanya, ia selari dengan hasrat dalam merealisasikan hasrat untuk menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara.

"Tahun ini, UDA di wilayah selatan akan melancarkan dua projek hartanah baharu iaitu Pisonia Ville dan Areca Terrace," katanya dalam satu kenyataan media.

Sementara itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Salem Kailany berkata, perniagaan hartanah di Johor sentiasa menitikberatkan keperluan pelanggan dan syarikat itu yakin permintaan rumah teres dua tingkat, menjadi tumpuan.

"Pada pertengahan tahun ini, UDA bakal menawarkan 225 unit kediaman teres dua tingkat menerusi pelancaran Pisonia Ville Pakej 2 membabitkan 53 unit dan 172 unit bagi Areca Terrace," katanya.

"Pakej Dua Pisonia Ville dan Areca Terrace bakal dibangunkan di UDA berstatus pegangan kekal.

"Perbandaran berkeluasan 190 hektar itu terletak di lokasi strategik bersebelahan Tol Perling dan dikelilingi taman perumahan yang matang.

"Selain itu, ia turut berdekatan dengan pelbagai kemudahan serta akses mudah ke pusat beli belah, pasar raya, bank dan sekolah," katanya.

Dalam pada itu, perniagaan di Angsana Johor Bahru Mall terus utuh bersandarkan kepada kadar penghunian yang melebihi 90 peratus tahun lalu.

UDA optimis dalam memastikan kompleks ini terus menerima pengunjung yang tinggi, popular serta terus unggul sebagai destinasi beli-belah utama di selatan tanah air, khususnya di Johor Bahru.

"UDA turut memperuntukkan sebanyak RM3 juta setahun menerusi Program Insentif Usahawan UDA bertujuan menggalakkan usahawan baharu untuk berniaga di kompleks beli belah milik UDA.

"Sebagai agensi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac), UDA turut memperkenalkan premis runcit diberi nama 'MARI Mart' yang membantu usahawan tempatan khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk memasarkan produk jualan mereka," katanya.

Tambahnya, MARI Mart adalah kolaborasi antara UDA dan Tekun Corporation dan menyasarkan 2,000 produk usahawan PMKS sejak 1 Januari lalu.

Selain itu, Projek Morten Walk di Kampung Morten, Melaka yang dijangka beroperasi pada April 2022 dan bakal menawarkan 50 ruang perniagaan khususnya usahawan PMKS.

"Morten Walk yang berkonsepkan kabin kontena moden dan tren bakal menjadi tumpuan pengunjung kerana lokasinya yang strategik bersebelahan Sungai Melaka,

"Usahawan digalakkan mengambil peluang baik ini untuk mengembangkan perniagaan sedia ada atau memulakan perniagaan baru di lokasi yang kondusif ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 January 2022 @ 7:10 AM