DATA dikeluarkan NAPIC menunjukkan kadar penghunian di ruang pejabat, kompleks beli-belah menurun pada 2021 akibat pandemik Covid-19.
DATA dikeluarkan NAPIC menunjukkan kadar penghunian di ruang pejabat, kompleks beli-belah menurun pada 2021 akibat pandemik Covid-19.
Muhamaad Razis Ismail


PANDEMIK Covid-19 memberi kesan kepada banyak sektor dan antara yang terjejas adalah sektor hartanah komersial.

Data dikeluarkan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) menunjukkan kadar penghunian ruang pejabat dan kompleks beli-belah masing-masing menurun 1.9 dan 1.2 peratus pada 2021 berbanding tahun sebelum ini.

Ketika negara mula masuk ke peralihan endemik, hartanah komersial dilihat masih lagi belum menunjukkan perubahan positif.

Presiden Persatuan Perunding Hartanah Muslim Malaysia (PEHAM), Sr Ishak Ismail berkata, sebenarnya penurunan berlaku sebelum pandemik melanda seluruh dunia.

Katanya, NAPIC sendiri sudah memberi amaran berkenaan lebihan penawaran ruang pejabat dan kompleks beli-belah ini.

"Situasi menjadi sedikit merosot berikutan pandemik Covid-19 sehingga memaksa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

"Dalam tempoh itu (pandemik), kita lihat jualan atau perniagaan secara dalam talian semakin hebat dan meningkat. Malah, banyak syarikat mengambil pendekatan bekerja dari rumah.

RAMAI cenderung membeli barang secara dalam talian.
RAMAI cenderung membeli barang secara dalam talian.

"Keadaan ini menyebabkan permintaan terhadap ruang pejabat dan premis fizikal menjadi semakin tertekan sehingga ramai pemaju membatalkan atau menangguhkan projek hartanah komersial baru," katanya.

Jelasnya, trend ini dilihat berterusan ketika negara mula memasuki fasa peralihan endemik baru-baru ini berikutan penyusunan ruang pejabat dan amalan syarikat besar yang membolehkan kakitangan membuat pilihan untuk bekerja dari rumah atau pejabat.

"Gaya bekerja secara hibrid ini sudah menjadi pilihan beberapa syarikat besar.

"Selain itu, syarikat yang menyewa premis fizikal sebelum ini, terus menjalankan perniagaan secara dalam talian," katanya.

Mengulas lanjut, cara berurus niaga kini sudah dipecahkan kepada dua pilihan iaitu secara dalam talian dan fizikal.

"Kita lihat jumlah orang masuk ke kompleks beli-belah belum mencapai tahap seperti sebelum Covid-19 kerana ramai membuat pilihan membeli di dalam talian.

PANDEMIK Covid-19 memberi kesan terhadap kadar penghunian premis komersial.
PANDEMIK Covid-19 memberi kesan terhadap kadar penghunian premis komersial.

"Ia sekali gus merencatkan dari segi kadar penghunian di premis komersial," katanya.

Mengulas lanjut, ia turut ditambah dengan perkembangan dan pengaruh teknologi terutama dalam proses pendigitalan 5G yang berlaku dengan pantas dan meluas akan mempengaruhi corak perniagaan secara fizikal di kompleks beli-belah, premis perniagaan dan pejabat.

Beliau bagaimanapun menjangkakan kadar penghunian mungkin boleh meningkat kepada 85 peratus hingga 90 peratus dalam tempoh setahun atau dua tahun dengan syarat tidak berlaku penambahan hartanah komersial.

"Ketika fasa peralihan endemik ini, tentunya banyak lagi perniagaan baru muncul dan ini akan meningkatkan kadar penghunian," katanya.

Jelasnya, untuk pembangunan hartanah komersial, pemaju perlu membuat perubahan dari segi reka bentuk dan konsep untuk memenuhi kehendak pasaran semasa.

"Di kompleks beli-belah yang menyediakan internet menerusi jaringan tanpa wayar (WiFi) yang murah dan percuma mungkin akan mendapat permintaan berbanding yang konvensional.

PEMAJU perlu membuat perubahan dari segi reka bentuk
PEMAJU perlu membuat perubahan dari segi reka bentuk

"Menerusi konsep kompleks beli-belah dalam bentuk yang baharu, bukan sahaja penyewa tertarik, malah pembeli yang datang ke sini tidak perlu membawa duit secara fizikal untuk membeli belah," katanya.

Pada masa sama, kerajaan boleh memperkenalkan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang dilaksanakan untuk membantu menyelesaikan lambakan hartanah komersial.

"Menerusi kempen yang boleh dinamakan sebagai Kempen Pemilikan Komersial (COC), ia dapat meningkatkan kadar permintaan dan menstabilkan harga sewa premis.

"Selain itu, peniaga dalam talian perlu digalakkan untuk memiliki ruang pejabat termasuk pejabat secara virtual untuk membantu meningkatkan penghunian ruang hartanah komersial," katanya.

Beliau menjangkakan pada masa akan datang, lebih banyak syarikat akan berpindah kepada pejabat baru di lokasi lebih strategik dan mempunyai kemudahan yang lebih baik.

"Pemaju pula diharap boleh melihat bagaimana dapat mengoptimumkan ruang bagi kegunaan pejabat dengan mengambil kira gaya bekerja secara hibrid yang sudah menjadi trend dan saya kira akan kekal pada masa akan datang," katanya.

WiFi antara kemudahan yang perlu disediakan untuk menarik penyewa dan pelanggan.
WiFi antara kemudahan yang perlu disediakan untuk menarik penyewa dan pelanggan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2022 @ 6:30 AM