Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Pemilikan premis perniagaan membabitkan golongan Bumiputera di pusat beli-belah terkemuka dan berprestij di lokasi tumpuan pelancongan masih lagi rendah disebabkan kadar sewa yang terlampau tinggi.

Selain itu, persaingan jenama tempatan untuk menarik perhatian pelancong asing juga antara faktor utama kurangnya peniaga Bumiputera di pusat beli-belah terkemuka.

Presiden Persatuan Wanita Bumiputera Dalam Perniagaan dan Profesyen Malaysia (Peniagawati), Datuk Azlin Ahmad Shaharbi berkata, kadar sewa yang terlalu tinggi antara penyebab ramai usahawan Bumiputera tiada dalam pasaran pusat beli-belah negara.

"Disebabkan itu kita akan tengok ramai usahawan kita akan pergi ke pusat beli-belah Bumiputera lain di bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Majlis Amanah Rakyat (Mara) atau Uda Holding Berhad (Uda).

"Ini kerana pusat beli-belah ini membantu usahawan Bumiputera dan menetapkan kadar sewa yang jauh lebih rendah, disebabkan itu kita boleh lihat ramai peniaga Bumiputera berkumpul di sana," katanya.

Menurutnya, selain itu, sesetengah pemilik pusat beli-belah juga mungkin mempunyai perancangan tersendiri untuk menarik orang ramai ke premis mereka.

"Setiap pusat beli-belah ini ada polisi mereka dengan meletakkan jenama besar untuk menarik perhatian orang ramai ke premis mereka," katanya.

 KERAJAAN berhasrat menyemak semula pengurusan pusat beli-belah yang dimiliki GLC supaya diuruskan syarikat tempatan dalam memastikan peniaga tempatan khususnya Bumiputera dapat menjalankan perniagaan mereka.
KERAJAAN berhasrat menyemak semula pengurusan pusat beli-belah yang dimiliki GLC supaya diuruskan syarikat tempatan dalam memastikan peniaga tempatan khususnya Bumiputera dapat menjalankan perniagaan mereka.

Ditanya apakah usaha kerajaan untuk membantu ramai Bumiputera menembusi pasaran pusat beli-belah itu, Azlin berkata, selain suntikan dana dan kadar sewa rendah, faktor Bumiputera untuk bersaing dan komitmen dalam berniaga juga penting.

"Pertolongan daripada segi sewa tidak mencukupi, ada pelbagai lagi yang perlu dibayar setiap bulan.

"Selain itu, perniagaaan mereka kena mantap, produk yang cantik, jika permintaan tinggi supply juga kena baik dan mampu bersaing dengan orang lain, ini semua antara faktor yang perlu diambil kira untuk menempatkan diri mereka dalam pusat beli-belah terkemuka," katanya.

Selain itu, mengulas mengenai cadangan mewujudkan kuota jumlah premis perniagaan milik Bumiputera di lokasi strategik diwujudkan, Azlin bersetuju dengan pelaksanaan itu kerana tidak ramai usahawan Bumiputera diberi peluang berada dalam pusat beli-belah.

"Tetapi bagi saya, tanpa bantuan kerajaan iaitu suntikan dana adalah sangat sukar untuk peniaga Bumiputera berada di situ.

"Kalau ada kuota pun, tetapi kadar sewa yang mahal, tetapi tidak mampu untuk mengisi jumlah itu melainkan dengan bantuan kerajaan," katanya.

Pendapat sama turut disuarakan Pengerusi Biro Keusahawanan dan Sosioekonomi Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) Mohd Afiq Salim berkata, walaupun ada antara pusat beli-belah dimiliki syarikat kerajaan negeri (GLC) namun peniaga Bumiputera dilihat masih kurang berkemampuan mendapatkan ruang perniagaan di premis berkenaan kerana kadar sewa yang dikenakan terlalu tinggi selain faktor persaingan.

"Contohnya di Kuala Lumpur City Centre (KLCC), penetapan standard yang tinggi untuk menjadi sebahagian daripada peniaga di pusat beli-belah eksklusif adalah salah satu faktor, peniaga Bumiputera biasanya berada di peringkat kedua selepas jenama besar lain.

"Contohnya di Johor Premium Outlet di Senai, Johor, kerajaan perlu mewujudkan satu premium outlet khusus untuk jenama tempatan yang berkualiti tinggi sebagai hub untuk jenama kita dikenali ramai," katanya.

Menurutnya, banyak produk Malaysia yang terkenal di luar negara, tetapi negara memerlukan pusat premium untuk promosi jenama tempatan itu.

"Pendapat saya, peniaga Bumiputera biasanya tidak mempunyai modal perniagaan yang besar dan pendedahan untuk berada di pasaran lebih terbuka serta bersaing dengan jenama lain," katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri yang juga Pengerusi Majlis Kemakmuran Bumiputera Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan mengambil maklum golongan Bumiputera masih rendah dari segi pemilikan premis perniagaan di pusat beli-belah berprestij dan lokasi tumpuan pelancongan.

"Bagi menangani isu ini, kerajaan berhasrat menyemak semula pengurusan pusat beli-belah yang dimiliki GLC supaya diuruskan syarikat tempatan dalam memastikan peniaga tempatan khususnya Bumiputera dapat menjalankan perniagaan mereka di situ.

"Mesyuarat turut mencadangkan supaya kuota jumlah premis perniagaan milik Bumiputera di lokasi strategik diwujudkan selaras dengan usaha meningkatkan daya saing dan mengukuhkan ekonomi Bumiputera," katanya.

Katanya, bagaimanapun, kuota itu akan diuruskan dengan cara telus dan adil supaya matlamat utama untuk membantu perniagaan Bumiputera yang layak dan berpotensi tercapai, tanpa disalah guna sehingga tersasar daripada objektif sebenar, sejajar dengan aspirasi Keluarga Malaysia.

Bagi peniaga Bumiputera, Abd Rahman Sulaiman, 58, yang berniaga kasut di Kompleks Emart, Jalan Pasar Pudu sejak 10 tahun lalu mengesahkan kadar sewaan yang terlampau tinggi mencecah puluhan ribu sebulan antara faktor utama kurangnya peniaga Bumiputera di lokasi tumpuan pelancong.

"Saya antara satu-satunya peniaga Bumiputera yang masih bertahan di Kompleks Emart ini, yang lain semua sudah tidak beroperasi atas pelbagai faktor.

"Jika tanya pendapat saya kenapa kami tidak dapat menembusi pusat beli-belah terkemuka adalah disebabkan kadar sewa terlampau tinggi yang mencecah puluhan ribu," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, selain itu persaingan dengan jenama terkenal dan juga peniaga warga asing juga menyebabkan peniaga Bumiputera perlu mengangkat 'bendera putih' lebih awal untuk bertahan.

"Kadar sewa yang mahal termasuk modal perniagaan yang terlampau besar menyebabkan kami tidak dapat menembusi pusat beli-belah, bayangkan kalau nak buat pengubahsuaian kedai memerlukan modal RM100,000 termasuk wang deposit tiga bulan.

Menurutnya, cadangannya jika kerajaan ingin membantu peniaga Bumiputera perlu suntikan dana atau meletakkan kadar sewa khas untuk Bumiputera.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 6:30 AM