ANGGOTA APM membantu operasi menyelamat mangsa dalam kejadian itu.
ANGGOTA APM membantu operasi menyelamat mangsa dalam kejadian itu.
KEADAAN bas ekspres yang terbalik di Lebuhraya Damansara susur ke Bangsar tengah malam tadi. FOTO IHSAN BOMBA
KEADAAN bas ekspres yang terbalik di Lebuhraya Damansara susur ke Bangsar tengah malam tadi. FOTO IHSAN BOMBA
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seramai 26 penumpang sebuah bas berdepan detik cemas apabila kenderaan itu terbabas dan terbalik dalam kejadian di Lebuhraya Damansara susur ke Bangsar, di sini, tengah malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu, jam 12.17 tengah malam.

"Seramai 18 anggota bersama empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah dan BBP Sentul dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, kami dimaklumkan terdapat kemalangan berlaku membabitkan sebuah bas ekspres dua tingkat yang dalam perjalanan ke Ipoh, Perak.

"Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila bas terbabit terbabas lalu terbalik," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, anggota bomba bertugas bertindak memecahkan tingkap hadapan bas berkenaan untuk mengeluarkan mangsa.

"Jumlah keseluruhan mangsa yang terbabit dalam kemalangan ini adalah 26 orang dan mereka dihantar ke hospital untuk pemeriksaan serta mendapatkan rawatan.

ANGGOTA APM membantu operasi menyelamat mangsa dalam kejadian itu.
ANGGOTA APM membantu operasi menyelamat mangsa dalam kejadian itu.

"Tugas seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 12.38 tengah malam tadi.

"Seorang pegawai dan 24 anggota APM dari daerah Kuala Lumpur, Sentul dan Cheras bersama lima ambulans dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Seramai 26 mangsa terbabit dalam kejadian ini dengan 18 daripada mereka dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan lanjut," katanya.

Katanya, mangsa terbabit dihantar ke HKL menggunakan lima ambulans milik APM dan dua ambulans milik pasukan bomba.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2022 @ 9:40 AM