MANGSA yang menaiki motosikal cedera selepas terjatuh  di Kilometer 9.4 Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur, semalam.
MANGSA yang menaiki motosikal cedera selepas terjatuh di Kilometer 9.4 Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur, semalam.
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Dua lelaki cedera selepas motosikal dinaiki mereka hilang kawalan di Kilometer 9.4 Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1 pagi itu motosikal ditunggang mangsa, Zul Majid Mansyur, 21, dibonceng rakannya, Muhammad Fakhiruddin Ahmad, 21, dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas di lokasi berkenaan.

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur Shukor Hashim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian jam 1.45 pagi.

“Tujuh anggota APM bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian. Ketika tiba, kami mendapati kedua-dua mangsa terbaring di laluan berkenaan sebelum dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.

“Difahamkan, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan di bahagian badan, kaki dan tangan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sementara itu, dalam kes berasingan wanita mengandung lima bulan cedera selepas kereta Perodua Myvi dinaiki bersama suami serta adik iparnya terbabas di Kilometer 13.4 Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur, semalam.

Shukor berkata, kemalangan dipercayai berlaku akibat jalan licin menyebabkan kereta dinaiki mereka terbabas di bahu jalan kira-kira jam 3 petang.

“Mangsa, Nur Syahirah Rojasni, 21, bersama suami, Nik Mohammad Firdaus Mohamed Nor, 27, serta adik iparnya menaiki kereta terbabit menuju ke Genting Highlands sebelum kenderaan itu terbabas.

“Kemalangan mengakibatkan mangsa cedera, manakala suami dan adik iparnya tidak mengalami sebarang kecederaan. Mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut,” katanya.

NUR Syahirah  dipapah ke dalam ambulans selepas kereta dinaiki terbabas ke bahu jalan.
NUR Syahirah dipapah ke dalam ambulans selepas kereta dinaiki terbabas ke bahu jalan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 September 2018 @ 10:01 AM