Ladang durian Musang King di puncak Gunung Inas. FOTO DANIAL SAAD
Ladang durian Musang King di puncak Gunung Inas. FOTO DANIAL SAAD
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Syarikat yang memajukan ladang durian di Gunung Inas, Baling, didapati tidak melakukan sebarang kesalahan berikutan projek itu dilaksana selepas mendapat kelulusan kerajaan negeri sebelum 2019.

Pengarah Perhutanan Kedah, Muhamad Abdullah, berkata berdasarkan rekod pihaknya, projek terbabit mempunyai laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) dan diluluskan kerajaan negeri sebelum dilaksanakan.

Jelasnya, siasatan sedang dilakukan pihaknya bagi memastikan sama ada syarikat terbabit mematuhi jenis tanaman mengikut kelulusan yang diberikan di bawah laporan EIA atau bertindak menukar tanaman berkenaan.

"Ia (projek) diluluskan EIA, jadi dalam laporan EIA ada spesis pokok yang ditanam, jika syarikat buat tindakan (menukar tanaman) maka kita kena rujuk balik laporan EIA, saya perlu semak dahulu data (untuk pengesahan).

"Ia tidak ada salah laku, sebab semua ini keputusan kerajaan negeri dan ada kelulusan negeri. Di Kedah semua penerokaan ladang hutan ada kelulusan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Penanaman Pokok Sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2022 yang disempurnakan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Tasik Darulaman di sini, hari ini.

Dalam kejadian banjir dan kepala air pada 4 Jun lalu, penduduk mendakwa projek ladang durian yang dilaksana di puncak Gunung Inas menjadi punca berlakunya bencana yang menjejaskan kehidupan lebih 800 mangsa dan mengorbankan tiga nyawa.

Mengulas lanjut, Muhamad Abdullah memaklumkan, syarikat terbabit penanaman ladang durian berkenaan diarah berhenti melakukan sebarang kerja penanaman melalui dua surat Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) pada Disember 2020 dan Mac 2021.

Jelasnya, tindakan itu dibuat selepas pihaknya dimaklumkan bahawa Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, mengarahkan semua kerja berkaitan projek itu dihentikan sepenuhnya pada Julai 2020.

"Apabila arahan diterima dari kerajaan negeri, kita tidak benarkan penanaman pokok baharu dibuat, tetapi syarikat masih boleh masuk untuk buat penyelenggaraan terhadap pokok yang sudah ditanam.

"Sebabnya mereka ada laporan EIA yang perlu dipatuhi seperti membaiki jalan dan saliran sebagainya. Bagi kerja membaja dan merumput juga kita benarkan, tetapi mereka tidak dibenar tanam pokok durian baharu," katanya.

Beliau berkata, JPNK juga dalam proses berbincang bersama kerajaan negeri bagi menentukan jenis tanaman yang perlu ditanam di kawasan puncak Gunung Inas yang didapati masih terbuka.

"Kawasan (hutan) yang terbuka itu tidak boleh dibiar terlalu lama, perlu cepat ditanam pokok. Mengenai spesis pokok yang akan ditanam, kita perlu bincang bersama kerajaan negeri dahulu.

"Sama ada tanam pokok tutup bumi atau spesis pokok berkayu lain, yang itu kita akan putuskan," katanya.

Muhamad turut memaklumkan, laporan lengkap berkaitan kejadian bencana dan siasatan penuh yang dilakukan JPNK berkaitan keadaan Gunung Inas akan diserahkan kepada Menteri Besar pada Sidang (DUN) Kedah esok.


Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Julai 2022 @ 3:00 PM