Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Kerajaan negeri tidak berhasrat menanam pokok di kawasan yang rosak di Gunung Inas, Baling akibat banjir puing pada 4 Julai lalu berikutan pokok hutan akan tumbuh secara semula jadi.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kawasan yang ditebang untuk pembalakan sebelum ini akan kembali menjadi hutan selepas 30 tahun dan keadaan itu berlaku di mana-mana hutan di negara ini.

"InsyaAllah pokok hutan itu akan tumbuh sendiri, semua hutan di Kedah ini tidak ada siapa bawa benih pi tanam, semua Allah yang tumbuhkan, jadi nak pulih macam mana hutan.

"Pasal kalau kita baik pulih macam mana pun dia (kawasan rosak) sudah jadi laluan air, pada masa akan datang pun ia tetap akan jadi laluan air.

"Kalau tempat laluan air memang macam itu lah (rosak). Di hutan lain pun, bukan di Gunung Inas saja, banyak lagi di Pahang, Terengganu dan negeri lain tapi surat khabar (media) tumpu Gunung Inas, mungkin kerana (Gunung Inas) popular," katanya.

MUHAMMAD Sanusi. FOTO Bernama
MUHAMMAD Sanusi. FOTO Bernama

Muhammad Sanusi berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media mengenai kerosakan yang berlaku di Gunung Inas akibat banjir puing pada 4 Julai lalu selain cadangan pelbagai pihak untuk memulihkan gunung itu dengan menanam pokok.

Bencana banjir dan banjir puing yang berlaku pada 4 Julai lalu meragut tiga nyawa termasuk wanita hamil empat bulan dan menjejaskan 12 kampung di sekitar daerah Baling.

Dalam tragedi itu, lebih 800 rumah penduduk terutama di Kampung Iboi serta sekitar Kupang terjejas, termasuk 15 kediaman lenyap dengan 18 lagi rosak teruk terkena kayu balak hanyut yang dibawa kepala air dari arah gunung.

Muhammad Sanusi berkata, bagi mengurangkan kejadian banjir puing, kerajaan menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan membina dua empangan sabo di kaki Gunung Inas dan majlis pecah tanah bagi projek itu akan diadakan secepat mungkin.

Sementara itu, Muhammad Sanusi memaklumkan beliau tidak tahu mengenai permohonan menukar tanaman Timber Latex Clone (TLC) iaitu pokok getah kepada penanaman durian Musang King pada Jun lalu seperti yang didedahkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) semalam.

Beliau bagaimanapun menegaskan, durian Musang King tidak termasuk dalam senarai tujuh spesies yang dibenarkan dalam penanaman untuk ladang hutan.

"Saya tak tahu itu (permohonan tukar tanaman pada Jun) kerana dari awal kalau masih ingat Julai 2020 saya dah katakan setahu saya ada tujuh spesies yang dibenarkan ladang hutan, durian tak masuk.

"Kemudian itu diberitahu dibenarkan 20 peratus, kalau nak tanam semua kena mohon. Lulus tak lulus saya tak tahu. Kalau dia baru mohon kemungkinan tak lulus, kemungkinan lulus," katanya.

Ketua Pengarah JAS, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar dalam laporan media dipetik berkata, kerajaan Kedah melalui Mesyuarat Exco meluluskan lebih kurang 20 peratus kawasan berkenaan untuk ditukar dari tanaman TLC kepada tanaman durian Musang King tanpa membuat permohonan awal kepada JAS.

Beliau berkata, kerajaan negeri sepatutnya memohon kepada JAS terlebih dulu bahawa ada perubahan komponen tanaman untuk menukar tanaman TLC kepada durian Musang King yang mana permohonan itu hanya diterima pada Jun lalu.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi menyelar tindakan pelbagai pihak yang tidak mahu menerima laporan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) yang dianggotai ratusan pakar tanpa sebarang kepentingan.

"Saya sejak awal tak mahu komen walaupun diprovok berkali-kali dan diheret oleh para inilah (media) nak suruh saya hentam orang itu, hentam orang ini. Saya kata tunggu pakar beri pandangan.

"Selepas jawatankuasa itu keluarkan laporan fakta dan angka saintifik pun tak mahu terima juga pasal orang ramai telah diheret untuk pergi kepada satu sudut saja. Ini tidak adil. Orang ramai perlu dibekalkan dengan maklumat yang cukup.

"Ilmu yang benar, perspektif yang betul dengan fakta dan kajian yang munasabah telah dikeluarkan. Tapi orang tak mahu terima pasal apa? Pasal media telah heret mereka kepada satu sudut 'marilah kita membelasah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2022 @ 8:44 PM