GUNUNG INAS. FOTO FB MB KEDAH
GUNUNG INAS. FOTO FB MB KEDAH
M Hifzuddin Ikhsan

Baling: Sebanyak 100 juta pokok perlu ditanam semula di seluruh kawasan kompleks Hutan Simpan Gunung Inas di sini, selepas persekitarannya mengalami kerosakan teruk akibat aktiviti penggondolan sebelum ini.

Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Prof Dr Ahmad Ismail berkata, kawasan persekitaran Gunung Inas didapati masih terdedah kepada risiko bencana berikutan faktor perubahan iklim yang terus berlaku ketika ini.

Menurutnya, jika usaha pemulihan tidak dilakukan segera, maka penduduk kawasan sekitar Gunung Inas akan terus terdedah kepada ancaman banjir lumpur dan aliran puing terutamanya pada musim hujan.

"Suka atau tidak kita perlu akui kerosakan di Gunung Inas sudah berlaku, tidak ada guna kita mempersalah antara satu sama lain. Apa yang penting kita perlu mencari jalan penyelesaian dan memulihkan kembali kawasan hutan simpan yang sudah digondolkan.

"Saya jangka kita perlu tanam sehingga 100 juta pokok pelbagai spesies tumbuhan, bermula dari tumbuhan tutup bumi atau pokok renek sehingga pokok besar termasuk spesis pohon balak yang pernah wujud di Gunung Inas sebelum ini.

"Pokok durian yang ada pula tidak perlu ditebang, biar ia jadi sebahagian daripada projek tanaman semula. Dalam tempoh jangka panjang, hasil durian ini boleh juga dikutip penduduk kampung dan menjadi sumber pendapatan mereka," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dilaporkan kawasan seluas kira-kira 600 hektar di kompleks Hutan Simpan Gunung Inas, mengalami kerosakan teruk dan sukar dipulihkan segera dalam tempoh terdekat, selepas digondolkan bagi tujuan penanaman projek ladang durian Musang King.

Akibat kegiatan itu, berlaku banyak hakisan dan runtuhan tanah yang turut menjadi antara punca berlakunya bencana banjir lumpur serta aliran puing melanda Kampung Iboi sehingga menyebabkan tiga nyawa terkorban serta menjejaskan ribuan penduduk sekitar.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, bagi menggerakkan kerja pemulihan semula Gunung Inas, kerajaan negeri boleh menggalakkan pembabitan sektor korporat, badan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan orang ramai menyertai usaha terbabit.

Katanya, apabila lebih ramai pihak terbabit, maka kerja pemulihan dapat dilakukan lebih cepat tanpa perlu bergantung kepada agensi kerajaan sahaja bagi melakukannya semua perkara berkenaan.

"Semua pihak kena terbabit bantu Gunung Inas, agensi kerajaan seperti Jabatan Perhutanan Negeri, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) perlu bincang bersama tentukan spesies pokok apa yang perlu ditanam.

"Pada masa sama, nasihat teknikal daripada kumpulan pakar turut diperlukan bagi menyelesaikan masalah seperti runtuhan tanah dan hakisan, kita perlu pengalaman mereka bagi memastikan kawasan Gunung Inas kembali stabil dan tidak berulang lagi bencana.

"Bagi menggerakkan projek tanam semula, kerajaan negeri boleh jemput syarikat korporat bersama lakukan usaha pemulihan yang turut disertai penduduk kampung. Saya yakin jika semua usaha ini dapat disegerakan, Gunung Inas dapat dipulihkan segera," katanya.

Mengulas mengenai tempoh masa diperlukan sebelum Gunung Inas dapat menjadi stabil semula, beliau menjelaskan ia tidak dapat ditentukan kerana ia bergantung kepada usaha pemulihan.

"Untuk mencapai ke tahap benar-benar stabil, ia sememangnya memerlukan masa kerana banyak kawasan sudah menjadi gondol. Pokok renek yang menjadi tumbuhan tutup bumi juga mengambil masa untuk tumbuh sebelum struktur tanah menjadi kukuh.

"Spesies pokok kayu besar pula mengambil tempoh lebih lama untuk tumbuh dan membesar, jadi kita perlu tanam semua jenis tumbuhan ini terlebih dahulu sebelum dapat menentukan bila Gunung Inas dapat mencapai keadaan stabil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2022 @ 1:08 PM