MUHAMMAD Sanusi. FOTO Bernama
MUHAMMAD Sanusi. FOTO Bernama
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Kerajaan negeri mempersoal keluasan kolam takungan ladang durian Musang King di puncak Gunung Inas yang pecah sehingga menyebabkan berlakunya bencana banjir di beberapa kampung di Kupang, Baling, awal bulan lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya perlu mengetahui berapa keluasan dan kandungan air kolam takungan yang mengakibatkan banjir besar sehingga menjejaskan 42 kampung di sekitar daerah berkenaan.

Bagaimanapun jelasnya, kerajaan negeri akur dengan kenyataan dibuat Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, hari ini, bahawa terdapat kolam takungan yang dibina bagi projek tanaman durian di puncak Gunung Inas pecah.

"Kita pakai kenyataan dibuat KASA, sebab itu saya suruh tunggu (laporan), kalau tak tunggu susah juga. Mereka ada jabatan teknikal yang melapor kepada KASA, mereka buat kesimpulan begitu dan kita terima.

"Ada kolam takungan yang pecah yang menyebabkan ledakan ke bawah. Kalau satu kolam sebesar itu airnya, sampai 42 kampung jadi besar mana kolam itu? Kita kena fikir balik besar mana kolam berkenaan?

"Kalau hujan tak lebat, kolam itu besar mana sehingga menyebabkan limpahan yang bawa pasir tanah sebesar itu ke dalam rumah sebanyak itu, 17 rumah hanyut maka sebesar mana kolam itu?" katanya pada sidang media selepas hadir Majlis Perasmian Bayaran Tanpa Tunai dan iHasil Kedah, di sini, hari ini.

Terdahulu, KASA mengesahkan punca banjir yang berlaku di beberapa kampung di Baling pada 4 Julai lalu disebabkan kolam takungan yang dibina di projek tanaman durian Musang King di puncak Gunung Inas pecah.

Kajian kementerian itu mendapati adanya satu kolam takungan yang pecah yang mana ia menyebabkan berlakunya banjir di beberapa kampung termasuk Kampung Iboi, Kampung Padang Lengkuas, Bukit Hangus dan Kampung Pisang.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, tinjauan udara yang dilakukannya sebaik selepas kejadian tidak menemui sebarang kolam pecah, sebaliknya hanya tandak (kolam kecil) air masyarakat yang mengalami kerosakan.

"Tinjauan udara yang saya buat tak nampak ada kolam pecah, tetapi itu pandangan kasar. Mungkin kena turun dan panjat bukit itu seperti dibuat jabatan teknikal baru dapat nampak (kolam pecah).

"Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) sudah mencadangkan agar ditanam segera pokok yang diluluskan di kawasan itu, sedangkan saya sudah suruh tanam sejak dua tahun lalu lagi, jadi kita kena bincang jenis tanaman itu," katanya.

Pada masa sama, beliau turut menimbulkan persoalan siapa yang sepatutnya menanam semula kawasan puncak Gunung Inas yang sudah ditebang ketika ini.

"Isu sekarang siapa hendak tanam? Syarikat yang diberi kebenaran tanam semula hendak tanam durian, tetapi kelulusan laporan impak alam sekitar (EIA) perlu tanam timber latex clon (TLC) dan hanya 20 peratus durian dibenarkan.

"Kalau syarikat 'surrender' kerana tak menguntungkan pelaburan mereka, jadi siapa nak tanam semula? Kalau tanam pokok hutan, kita tak boleh tebang lagi. Kalau tanam durian, pokok tak akan ditebang tetapi ada hasil, kalau tanam TLC selepas 15 tahun kena tebang," katanya.

Berikutan itu, Muhammad Sanusi menjelaskan, pihaknya masih berbincang bersama KASA dan JPNK bagi menentukan jenis tanaman yang sesuai ditanam semula di kawasan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2022 @ 6:30 PM