Siti Rohana Idris

Tanah Merah: Sebanyak 850 paket minyak masak satu kilogram (kg) habis terjual dalam tempoh kira-kira 15 minit pada Program Advokasi Gerakan Pengguna Mahasiswa (GPS) UMK di Kampung Bendang Besar, di sini, hari ini.

Program jualan borong inisiatif pejabat Parlimen Jeli bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu menyediakan 50 kotak minyak masak turut membuatkan orang ramai 'mengepung' pacuan empat roda yang memuatkan kotak mengandungi paket minyak masak berkenaan.

Suri rumah, Wati Mohamad, 44, berkata peluang mendapatkan minyak masak pada harga berpatutan diambil kerana harga semasa yang dijual di kedai runcit sekitar RM3 hingga RM3.50 sepaket.

Menurutnya, dia yang tidak menjangkakan ada jualan borong minyak masak meminjam wang daripada jiran yang kebetulan hadir dalam program berkenaan untuk mendapatkan minyak masak.

"Walau harga yang dijual hari ini kurang 50 sen hingga RM1 sahaja (sepaket), tapi bagi kami orang susah, ia sangat berpatutan.

"Biasanya untuk sebulan, kami tujuh beranak akan menggunakan sekitar tiga paket minyak masak dan adakalanya penggunaannya perlu dicatu untuk berjimat memandangkan kami hanya menoreh getah sahaja untuk kelangsungan hidup," katanya.

Penduduk Wan Noriah Wan Ahmad, 59, berkata dia datang sejauh lapan kilometer dari Kampung Air Kayan, di sini, dengan menunggang motosikal untuk membeli minyak masak pada harga murah.

"Walaupun dibenarkan membeli hanya empat paket setiap orang, ia sudah memadai kerana sekurang-kurangnya dapat dirasai semua penduduk," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Zahari Kechik berkata, jualan borong minyak masak berkenaan dilakukan bagi memberi peluang barangan subsidi itu sampai kepada golongan sasar.

Menurutnya, inisiatif itu akan diteruskan secara berkala bagi memenuhi permintaan rakyat.

"Kita banyak mendengar keluhan rakyat yang mengatakan tiada bekalan minyak masak dan kalau ada sekalipun, ia dijual dengan harga agak mahal.

"Atas dasar prihatin, kami bekerjasama dengan KPDNHEP menjalankan jualan borong minyak masak pada harga subsidi untuk memenuhi permintaan rakyat kurang berkemampuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Julai 2022 @ 3:42 PM
ORANG ramai berebut untuk membeli minyak masak paket yang dijual pada harga RM10 bagi empat paket dalam jualan borong di Kampung Bendang Besar. FOTO Siti Rohana Idris
ORANG ramai berebut untuk membeli minyak masak paket yang dijual pada harga RM10 bagi empat paket dalam jualan borong di Kampung Bendang Besar. FOTO Siti Rohana Idris