Orang ramai yang beratur membeli ayam yang dijual pada harga RM7.50 sekilogram sebelum dijual pada harga lelong RM5 sekilogram pada program Jualan Keluarga Malaysia di Kuala Klawang. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Orang ramai yang beratur membeli ayam yang dijual pada harga RM7.50 sekilogram sebelum dijual pada harga lelong RM5 sekilogram pada program Jualan Keluarga Malaysia di Kuala Klawang. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Harga murah sebelum jualan lelong ditawarkan peniaga pada program Jualan Keluarga Malaysia di Kuala Klawang, di sini, hari ini, menyebabkan ia menjadi tumpuan ramai pengunjung.

Ayam yang awalnya dijual pada harga RM7.50 sekilogram sebelum itu, kemudian dijual dengan harga lelong RM5 sekilogram menyebabkan orang ramai berebut mendapatkannya.

Sebanyak 240 kilogram daripada 1 tan ayam dibawa peniaga dijual pada harga itu dan ia habis dijual dalam tempoh tidak sampai 15 minit.

Gerai menjual minyak masak paket turut diserbu apabila 200 paket minyak masak dijual pada harga RM1 sepaket.

Petai, sayur-sayuran, roti turut diberi secara percuma kepada orang ramai berdasarkan siapa cepat dia dapat, pada jualan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Klawang.

Penjual roti, Azman Dollah, 41, berkata sebanyak 1,600 paket pelbagai jenis yang dibuat sendiri habis dijual dalam tempoh 60 minit.

Katanya, potongan harga dari 50 sen hingga RM1 bergantung kepada jenis roti diberikan kepada orang ramai yang datang ke gerainya.

Pengunjung, Osman Zakaria, 50, berkata dia berbelanja RM50 sebelum membawa pulang dua ekor ayam, sekilo ikan tilapia, sepapan telur, minyak masak manakala petai, sayur dan sebungkus roti diperoleh secara percuma.

Program itu dianjurkan Ahli Parlimen Jelebu yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Jalaluddin berkata, program jualan itu akan diadakan setiap dua minggu sekali membabitkan empat Dun di Parlimen Jelebu.

Beliau berkata, ia kali kedua dianjurkan selepas kali pertama diadakan di Simpang Durian dan program ketiga akan diadakan bagi Dun Pertang pada 12 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 January 2022 @ 1:23 PM