MOHD Fadly (tengah) menunjukkan minyak masak berpaket yang dibungkus semula menjadi minyak botol untuk upacara agama. FOTO ihsan KPDNHEP
MOHD Fadly (tengah) menunjukkan minyak masak berpaket yang dibungkus semula menjadi minyak botol untuk upacara agama. FOTO ihsan KPDNHEP
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


Kulim: Pemilik kedai dikesan membungkus semula minyak masak paket bersubsidi yang diproses semula untuk dijadikan minyak upacara agama selepas premisnya di Taman Emas, di sini, diserbu semalam.

Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kulim, Mohd Fadly Edros berkata, operasi dilakukan jam 10.30 pagi semalam oleh sepasukan lima anggota berdasarkan maklumat dan risikan.

Beliau berkata, pemeriksaan dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat premis itu menyalah gunakan lesen runcit menjual barang kawalan iaitu minyak masak paket bersubsidi.

"Hasil pemeriksaan itu mendapati wujudnya aktiviti membungkus semula minyak masak bersubsidi untuk dijadikan minyak upacara agama dan dibotolkan dengan kapasiti 750 mililiter (ml) dan dijual semula dengan harga RM3 sebotol," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Fadly berkata, minyak masak bersubsidi yang setiap paket mengandungi satu kilogram itu dijual di pasaran pada harga RM2.50 sepaket.

Beliau berkata, berikutan itu seorang lelaki berusia 63 tahun yang mengaku sebagai pemilik perniagaan ditahan untuk siasatan lanjut.

"Berdasarkan keterangan lelaki itu, aktiviti pemprosesan minyak masak untuk upacara agama dijalankan di kediamannya sejak 2019 menggunakan minyak masak industri.

"Namun sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia hanya mampu membeli minyak paket berpaket (satu kilogram) dan diproses menjadi minyak upacara agama untuk dijual kepada peniaga di sekitar Kulim," katanya.

Mohd Fadly berkata, untuk sepaket minyak masak subsidi itu, dia boleh mengeluarkan sebanyak dua botol minyak untuk upacara agama.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati perniagaan ini mempunyai lesen berurus niaga minyak masak secara runcit dengan kuota penyimpanan sebanyak 1,000 kilogram (kg) pada setiap masa.

"Perniagaan ini tidak memiliki kebenaran untuk membungkus semula barang kawalan minyak masak.

"Sehubungan itu, KPDNHEP mengambil tindakan dengan menyita beberapa barangan seperti 98 botol minyak dibotolkan, 100 kg minyak masak berpaket, 182 unit bungkusan plastik minyak masak dan satu unit tangki simpanan minyak," katanya.

Mohd Fadly berkata, kesemua nilai sitaan itu bernilai RM773.40.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

"Jika sabit kesalahan seseorang individu itu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"KPDNHEP memandang serius terhadap mana-mana orang yang menjalankan aktiviti pembungkusan semula minyak masak bersubsidi tanpa kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2021 @ 4:41 PM