ALEXANDER mengadakan pemeriksaan pematuhan prosedur operasi standard dan kawalan harga jualan. FOTO ihsan KPDNHEP
ALEXANDER mengadakan pemeriksaan pematuhan prosedur operasi standard dan kawalan harga jualan. FOTO ihsan KPDNHEP
Samadi Ahmad


Putrajaya: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyangkal dakwaan mengatakan harga minyak paket satu kilogram (kg) dijual pada harga tinggi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, minyak masak dalam bentuk pembungkusan satu kg adalah barang kawalan bersubsidi sejak 2007 yang dijual pada harga RM2.50.

Katanya, KPDNHEP menerima aduan berhubung harga minyak masak itu dijual dengan harga tinggi manakala minyak botol bersaiz lima kg tertakluk kepada harga pasaran terbuka.

"Minyak masak dalam bentuk pembungkusan berpaket satu kg adalah barang kawalan bersubsidi sejak 2007," katanya melalui kenyataan media hari ini.

Semalam, Alexander mengadakan pemeriksaan di kompleks membeli-belah Kipp Mall, Kota Warisan dan Giant Distribution Centre di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang bagi memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan kawalan harga jualan dalam kalangan sektor perdagangan.

Pemeriksaan turut disertai Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Azman Adam.

Alexander berkata, bermula November 2016, Kerajaan melalui KPDNHEP memulakan Program Skim Rasionalisasi Harga Minyak Masak (COSS) dengan hanya memberikan subsidi kepada minyak masak dalam bungkusan satu kg.

Beliau berkata, kerajaan masih mengekalkan pemberian subsidi minyak masak satu kg bertujuan memastikan rakyat dapat menikmati bahan makanan itu dengan harga mampu milik.

Sementara itu, Alexander berkata, sepanjang PKP sebanyak 477 premis perniagaan diberi nasihat dan amaran bagi membuat penambahbaikan kerana tidak mematuhi SOP ketika Operasi Khas Pemantauan.

"Sebanyak 7,355 premis lagi diberikan nasihat untuk menambahbaik dan mengekalkan pematuhan secara konsisten ketika menjalankan operasi perniagaan.

"Sepanjang operasi dikuatkuasakan sehingga 16 Januari 2021, KPDNHEP sudah mengadakan sebanyak 321,850 pemeriksaan terhadap premis perniagaan di seluruh negara.

"Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 314,018 premis mematuhi SOP dan KPDNHEP akan terus komited untuk memperkasakan operasi dari semasa ke semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2021 @ 11:54 AM