Ahmad Hasbi


Kuala Pilah: Bak pisang goreng panas! Gerai menjual minyak masak di Program Jualan Keluarga Malaysia di Dataran Melang, di sini, diserbu orang ramai sebaik harga RM2 sepaket diumumkan 10 pagi, hari ini.

Dalam masa 30 minit sahaja, 1 tan minyak masak bersubsidi dalam paket 1 kilogram habis terjual dengan seorang pelanggan hanya dibenarkan membeli dua paket.

Pahirah Jamaluddin, 71, berkata, dia berpuas hati dengan harga harga yang ditawarkan pada program jualan berkenaan, malah kualiti produk yang dijual juga terbaik.

"Saya dengar daripada rakan sekampung memaklumkan ada jualan murah di sini, jadi saya minta cucu bawakan saya ke sini. Banyak barang keperluan dapur yang dijual lebih murah berbanding tempat lain.

"Malah, minyak masak bersubsidi dalam paket juga dijual pada harga yang lebih murah. Minyak masak ini susah nak dapat di sekitar rumah saya di Johol," katanya ketika ditemui, pagi tadi.

Pahirah berkata, program seumpama ini perlu diteruskan pada masa akan datang dan jika boleh dilaksanakan sebulan sekali dalam satu-satu kawasan.

Bagi Junaidah Ibrahim, 61, dari Jemapoh, minyak masak bersubsidi dalam paket sukar diperolehi di kawasan rumah menyebabkan dia terpaksa membeli minyak masak dalam botol yang berharga RM10 ke atas untuk 2 kilogram.

"Apabila saya mendengar ada jualan murah pada hari ini, saya mengambil kesempatan untuk membeli minyak masak bersubsidi yang semestinya lebih murah, malah dalam program hari ini, minyak dijual pada harga RM2 sahaja.

"Banyak barang saya beli hari ini bagi memenuhi keperluan dapur seperti beras, telur, ayam dan bawang. Sekampit beras 5 kilogram dijual pada harga RM10, manakala ayam dijual RM10 seekor.

"Dalam cabaran rakyat menghadapi pandemik Covid-19 dan harga barang yang naik ketika ini, saya rasa program jualan ini bagus untuk membantu orang ramai terutama golongan B40 dan masyarakat luar bandar," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Pilah Datuk Eddin Shazlee Shith yang meluangkan masa beramah mesra dengan pengunjung dan peniaga berkata, program itu adalah satu daripada inisiatif kerajaan dalam mengurangkan beban rakyat ketika mendepani pandemik Covid-19.

"Program dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ini saya anggap ini sebagai jualan mega kerana kerana produk bersubsidi yang memang lebih murah diturunkan lagi harga.

"Misalnya, minyak masak subsidi yang dijual pada harga RM2.40 sepaket dan ditawarkan pada harga RM2 sepaket. Namun kami menetapkan jumlah tertentu sahaja yang boleh dibeli bagi seorang pelanggan," katanya.

ORANG ramai membeli bekalan minyak masak pada program jualan Keluarga Malaysia. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
ORANG ramai membeli bekalan minyak masak pada program jualan Keluarga Malaysia. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2022 @ 5:06 PM