KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 39 Jalan Kuantan-Segamat, Pekan, semalam. FOTO Ihsan PDRM
KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 39 Jalan Kuantan-Segamat, Pekan, semalam. FOTO Ihsan PDRM
Asrol Awang

Kuantan: Dua beranak meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan dua lori dan masing-masing sebuah van serta kereta di Kilometer 39, Jalan Kuantan-Segamat, Pekan dekat sini, jam 11 pagi semalam.

Muhammad Padillah Hussin, 52, dan Nurul Solehah Muhammad Padillah, 23, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

Ketua Polis Daerah Pekan Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, siasatan awal mendapati, Proton Wira dipandu Muhammad Padillah dalam perjalanan dari arah Segamat, Johor menghala ke Kuantan manakala tiga kenderaan lain dari arah Kuantan menghala ke Segamat.

"Tiba di lokasi, kereta dipandu mangsa dipercayai termasuk ke laluan bertentangan dan melanggar tayar belakang sebuah lori sebelum bertembung dengan van.

"Proton Wira itu kemudiannya termasuk semula ke laluan asal manakala van terbabit dilanggar sebuah lagi lori yang berada di belakangnya. Dua beranak itu serta pemandu van terbabit kemudiannya dibawa ke HTAA.

"Pada jam 1.53 petang, Muhammad Padillah disahkan meninggal dunia di wad kecemasan HTAA. Pada jam 6.39 petang pula, Nurul Solehah disahkan meninggal dunia di unit rawatan rapi (ICU) HTAA," katanya pada kenyataan hari ini.

Pemandu van berusia 36 tahun patah tangan kanan manakala dua pemandu lori berumur 32 dan 38 tahun tidak mengalami kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2022 @ 12:12 PM