GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Asrol Awang


Kuantan: Dua maut manakala dua lagi cedera selepas terbabit dalam satu kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 220.3 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) hala Timur di sini, malam tadi.

Mereka yang terbunuh dikenali Mohamad Syukri Mat Yusof, 27 dari Ulu Cheka, Jerantut, Pahang dan Suryano, 30, warga Indonesia meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.

Dua yang cedera iaitu Muhammad Firdaus Jalani, 18, dari Taman Sri Jaya, Jerantut dan Mohammad Syafiq Azmi, 22 berasal dari Pasir Gudang, Johor manakala Mohamad Sofian Ab Wahab, 22 berasal dari Kota Bharu, Kelantan yang turut terbabit dalam kemalangan itu tidak mengalami kecederaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, berdasarkan laporan, kemalangan membabitkan dua kereta pada 10.50 malam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta Proton Wira dipandu Muhammad Firdaus dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kuantan dipercayai hilang kawalan melanggar pembahagi jalan sebelah kiri lalu terbabas ke lorong kanan.

"Pada masa sama datang sebuah kereta Toyota Yaris yang dipandu Mohamad Sofian dari arah yang sama tidak sempat mengelak lalu melanggar Proton Wira terbabit.

"Akibat daripada perlanggaran itu, kedua-dua mangsa yang juga penumpang Proton Wira disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke HTAA untuk bedah siasat.

"Dua lagi mangsa yang cedera iaitu Muhammad Firdaus dan Mohammad Syafiq dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini untuk mendapatkan rawatan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati Proton Wira yang dipandu Muhammad Firdaus dinaiki bersama Mohamad Syukri dan Suryano manakala Mohamad Sofian yang memandu Toyota Yaris bersama Mohammad Syafiq.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2020 @ 12:06 PM