SEBAHAGIAN bakal jemaah haji yang terkandas  membuat laporan polis di Balai Polis Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. FOTO Hairul Anuar Rahim.
SEBAHAGIAN bakal jemaah haji yang terkandas membuat laporan polis di Balai Polis Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. FOTO Hairul Anuar Rahim.
Amir Abd Hamid


Sepang: Sehingga kini, polis sudah menerima 23 laporan berhubung jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd Rahman, ketika dihubungi Harian Metro memaklumkan laporan berkenaan di terima di beberapa balai polis seluruh negara.

Katanya, pihaknya belum memperoleh maklumat tepat berhubung jumlah sebenar jemaah haji yang terkandas.

"Bagaimanapun, setakat hari ini, pihak polis sudah terima 23 laporan polis dari jemaah haji kelolaan sebuah agensi pelancongan setakat tengah hari tadi.

"Laporan dibuat di beberapa balai polis seluruh negara termasuk Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA, Setapak dan Temerloh," katanya.

Beliau berkata, kebanyakan jemaah sudah pulang selepas insiden semalam.

"Kita masih belum pasti insiden ini ada elemen penipuan atau sebaliknya dan kita sedang menjalankan siasatan lanjut dalam segala aspek termasuk elemen jenayah," katanya.

Sementara itu, katanya semalam berlaku sedikit kekecohan apabila jemaah mendapati mereka gagal berangkat ke Tanah Suci namun anggota polis bertugas berjaya mengawal keadaan.

Selain itu, Imran berkata, polis sudah menemubual pemilik agensi pelancongan terbabit secara lisan dan merekod keterangan individu terbabit selepas menerima aduan jemaah yang terkandas.

Difahamkan, jemaah haji yang menjadi mangsa penipuan berkenaan dijanjikan penerbangan ke Jeddah, Makkah semalam.

Mereka yang berkumpul di Aras 5, Balai Pelepasan KLIA dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH).

Penerbangan dijadualkan ke Jeddah pada Selasa lalu namun ditangguhkan atas alasan dokumen tidak lengkap sebelum sebelum penerbangan baru dijadualkan pada jam 4.30 petang, semalam namun ditangguhkan lagi pada jam 7 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Julai 2022 @ 5:43 PM