ANGGOTA penguat kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan membuat pemeriksaan minyak masak di pasar raya di Seremban. FOTO Ihsan KPDNHEP Negeri Sembilan
ANGGOTA penguat kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan membuat pemeriksaan minyak masak di pasar raya di Seremban. FOTO Ihsan KPDNHEP Negeri Sembilan
Mohd Amin Jalil

Seremban: Padah menyimpan minyak masak paket satu kilogram (kg) melebihi had lesen runcit yang dibenarkan, seorang peniaga di Kuala Pilah, dekat sini, dikenakan tindakan sita.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan, Abd Muis Samsudin berkata, sebanyak 510 kg minyak masak paket 1 kg milik peniaga terbabit bernilai sebanyak RM1,275, dirampas.

Beliau berkata, peniaga terbabit dikenakan tindakan itu dalam Ops ATM Fasa 1 yang berakhir semalam.

"Sebanyak 193 pemeriksaan premis dijalankan dalam Ops ATM Fasa 1 yang bermula 23 Jun hingga semalam.

"Ia bertujuan membanteras dan menggempur aktiviti menyorok barang kawalan dan memastikan keberadaan bekalan terutama barang makanan negara sentiasa mencukupi serta mudah diperoleh pengguna pada harga berpatutan," katanya di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya sudah memulakan pemeriksaan dan pemantauan di pasar raya dan pasar awam sempena pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam, mulai hari ini.

Menurutnya, setakat ini keadaan terkawal dan peniaga didapati mematuhi peraturan.

Pengguna yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku peniaga diminta menyalurkan aduan yang lengkap kepada KPDNHEP melalui saluran WhatsApp 019-2794317 atau 019-848 8000.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Julai 2022 @ 4:06 PM