TANGKI berisi minyak diesel yang dipercayai diseleweng dalam serbuan di Kampung Kibabaig, Penampang semalam. FOTO ihsan KPDNHEP
TANGKI berisi minyak diesel yang dipercayai diseleweng dalam serbuan di Kampung Kibabaig, Penampang semalam. FOTO ihsan KPDNHEP
Juwan Riduan


Penampang: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah menumpaskan kegiatan penyelewengan barang kawalan diesel dalam satu operasi di sebuah stor tidak bernombor di Kampung Kibabaig, di sini, semalam.

Dalam operasi jam 5.30 petang itu, pasukan serbuan merampas 15,683 liter diesel bersubsidi dan menahan tiga lelaki warga tempatan dipercayai pekerja di lokasi berkenaan.

Pengarah KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata, pihaknya menjalankan selama lima hari sebelum serbuan dijalankan.

Katanya, berdasarkan keterangan awal, pekerja di lokasi terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan.

"Pasukan serbuan menemui dan menyita sebanyak 15,683 liter diesel, sebuah lori, sebuah 'skid tank', tangki minyak kenderaan pelbagai kapasiti dan satu unit pam elektronik yang disyaki digunakan untuk menyeleweng.

"Tiga lelaki warga tempatan yang dipercayai pekerja di lokasi serbuan ditahan dan diambil keterangan bagi tujuan membantu siasatan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Georgie berkata, nilai keseluruhan sitaan berjumlah RM114,018.45.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 20(1) akta sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran.

"KPDNHEP Sabah akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan ke atas semua kegiatan berkaitan barang kawalan di Sabah supaya tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan berkenaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti yang melanggar peraturan boleh menyalurkan aduan kepada pihak kementerian melalui aplikasi WhatsApp di talian 019-279 4317 atau 019-848 8000.

"Ia juga boleh disalurkan menerusi portal (e-aduan.kpdnhep.gov.my), emel ([email protected]) atau menghubungi talian bebas tol 1-800-886-800," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2022 @ 4:54 PM