LAPORAN Harian Metro sebelum ini
LAPORAN Harian Metro sebelum ini
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Pemeriksaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang di sebahagian premis di negeri ini mendapati berlaku gangguan bekalan telur ayam.

Pengarahnya S Jegan berkata, namun pihaknya dimaklumkan bahawa mereka sudah membuat tempahan dan dalam proses menunggu bekalan daripada pembekal.

Katanya, berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan, didapati bekalan telur ayam masih lagi boleh didapatkan pengguna namun permintaan terhadapnya adalah tinggi.

Katanya keadaan itu menyebabkan jualan telur ayam laris dalam tempoh masa yang singkat.

"Daripada segi kedudukan bekalan telur ayam, didapati beberapa premis yang diperiksa mempunyai bekalan manakala sebahagiannya lagi mengalami gangguan dan mereka sudah membuat tempahan serta dalam proses menunggu bekalan.

"Pemeriksaan itu dilakukan susulan aduan daripada orang awam berkenaan kekurangan bekalan telur ayam di pasaran," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Jegan berkata, kesemua premis runcit yang diperiksa didapati menjual telur ayam pada harga yang ditetapkan kerajaan iaitu telur ayam gred A berharga RM0.45, telur ayam gred B (RM0.43) dan telur ayam gred C (RM0.41).

Katanya, anggota penguatkuasa KPDNHEP akan terus membuat pemeriksaan di semua lapisan perniagaan bagi memastikan tiada peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga atau menyorokkan bekalan di pasaran.

"KPDNHEP Negeri Pulau Pinang ingin memaklumkan bahawa harga telur ayam bagi gred A, B dan C bagi premis yang diperiksa adalah mengikut harga yang ditetapkan kerajaan.

"Sehubungan itu, orang ramai dinasihati supaya membuat pembelian seperti biasa dan menggunakan kuasa pengguna

bagi penentuan harga barangan di pasaran.

"Peniaga yang cuba menyembunyikan barang kawalan atau mengambil kesempatan bagi menaikkan harga secara tidak munasabah akan diambil tindakan yang tegas," katanya.

Orang awam yang mempunyai aduan atau maklumat boleh menghubungi aplikasi WhatsApp 019-279 4317 atau 019-848 8000, Portal Aduan e-aduan.kpdnhep.gov.my, talian 1-800-886-800, emel [email protected] dan Ez ADU KPDNHEP.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2022 @ 5:03 PM