Amran Yahya


DUA penjenayah berjaya meloloskan diri sebaik terserempak anggota Unit Kereta Peronda (MPV) polis ketika sedang menarik kabel menggunakan kereta di Kampung Changgang, Johol pagi semalam.

Dalam kejadian 3 pagi itu, dua suspek menaiki kereta Proton Waja dilaporkan cuba mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM).

Bagaimanapun usaha suspek yang sedang menarik kabel sejauh enam kilometer hanya sia-sia apabila perbuatan mereka disedari anggota MPV yang kebetulan melakukan rondaan di kawasan sama.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok berkata, suspek kelam kabut melarikan diri dengan meninggalkan kabel itu berhampiran Klinik Kesihatan Inas.

"Anggota kami kemudian menghubungi seorang kakitangan TM bagi memaklumkan kejadian itu. Kakitangan TM bertindak mengarahkan kontraktor membuat rondaan dan menemui kabel sepanjang 570 meter yang sudah dipotong.

"Kejadian itu menyebabkan TM kerugian RM17,100," katanya.

Haslah berkata, anggota MPV kemudian melakukan rondaan sebelum menemui kereta milik penjenayah ditinggalkan di tepi jalan berhampiran Tampin.

"Bagaimanapun suspek sudah melarikan diri dan pemeriksaan dalam kenderaan itu menemui pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah.

"Kenderaan itu dilaporkan hilang di Kuala Lumpur beberapa bulan lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2017 @ 11:26 AM