Ahmad Hasbi


Seremban: Persatuan Cakna Rasa Sayang (PCRS) menjamu 70 pelajar tahfiz Madrasah Khoirul Uloom di Senawang dekat sini, semalam dengan 160 kilogram durian.

"Pelajar tahfiz ini terikat dengan disiplin dan rutin di pusat pengajian. Makanan mereka juga dijaga kerana menghafal al-Quran. Mungkin juga kekangan peruntukan menyebabkan mereka tidak dapat menikmati durian dengan kerap seperti orang lain.

"Hari ini (semalam), kami meraikan mereka dengan 160kg durian dan mereka teruja dengan kelainan ini," kata Penaung PCRS Zulkifl Muhamed.

Zulkifli berkata, pelajar tahfiz memberi sumbangan kepada umat Islam kerana golongan ini menjadi penghafal al-Quran dan aktiviti mereka itu juga membawa kerahmatan dalam sesebuah kawasan.

"Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat diharap lebih terbuka untuk menyantuni anak yatim dan pusat tahfiz tanpa menghadkan hanya bantuan kewangan pada musim tertentu sahaja," katanya.

Sementara itu, Mudir Madrasah Khoirul Uloom Mohammad Farhan Md Khair, 33, berkata, ini julung kali pihak luar memberi sumbangan durian bagi meraikan pelajar tahfiz.

"Kami berbesar hati dan bersyukur dengan sumbangan ini. Di madrasah ini, ada 70 pelajar berusia 13 hingga 17 tahun dan ada dalam kalangan mereka adalah anak yatim.

"Jika ditanya sudah semestinya ada yang mahu makan durian, namun peruntukan yang ada lebih diutamakan untuk keperluan mereka," katanya.

ZULKIFLI (tengah) menjamu durian kepada pelajar Madrasah Tahfiz Khoirul Uloom. FOTO Azrul Edham
ZULKIFLI (tengah) menjamu durian kepada pelajar Madrasah Tahfiz Khoirul Uloom. FOTO Azrul Edham

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2022 @ 1:42 PM