Ronald Kiandee (tengah) melawat gerai pameran pada Majlis Pelancaran Program Bio-Based Accelerator (BBA)  di sini hari ini. FOTO  Samadi Ahmad
Ronald Kiandee (tengah) melawat gerai pameran pada Majlis Pelancaran Program Bio-Based Accelerator (BBA) di sini hari ini. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad


Putrajaya: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan mengadakan kerjasama dengan kerajaan negeri bagi membangunkan kawasan tanah terbiar bagi meningkatkan sektor pertanian.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, cadangan itu adalah langkah dan tindakan kerajaan dalam usaha menjamin kelangsungan bekalan makanan negara.

Katanya, perkara itu akan dibincangkan dengan lebih lanjut dalam mesyuarat dengan menteri besar dan ketua menteri di Pengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hujung bulan ini.

"Antara pendekatan yang akan diambil adalah bagi membangunkan tanah-tanah terbiar sama ada milik tempatan, agensi dan kerajaan negeri" katanya pada Majlis Pelancaran Program Bio-Based Accelerator (BBA)di sini, tadi.

Media sebelum ini melaporkan, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) dipengerusikan Perdana Menteri memutuskan lima langkah diambil bagi menjamin sekuriti makanan negara.

Ia membabitkan kerjasama kerajaan dengan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan dan kerajaan negeri, kerjasama awam dan swasta serta jaminan pasaran bagi hasil pertanian diusahakan peladang dan petani.

Kiandee berkata, setakat ini bekalan ikan dan sayur mencukupi berbanding bekalan ayam yang berhadapan sedikit gangguan sejak beberapa minggu.

Menurutnya, Mesyuarat Kabinet yang diadakan kelmarin turut bersetuju dengan pelaksanaan tiga intervensi tambahan bagi menangani isu bekalan makanan sekaligus merancakkan aktiviti pengeluaran makanan domestik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Jun 2022 @ 3:49 PM