Dr Norlela sudah berhubung dengan Pejabat Tanah Galian (PTG) Pulau Pinang untuk semakan maklumat kesemua tanah terbiar milik kerajaan negeri dan Persekutuan.
Dr Norlela sudah berhubung dengan Pejabat Tanah Galian (PTG) Pulau Pinang untuk semakan maklumat kesemua tanah terbiar milik kerajaan negeri dan Persekutuan.
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Kerajaan negeri giat mengenal-pasti tanah terbiar yang berpotensi dibangunkan sebagai kawasan pertanian sebagai usaha menjamin keselamatan bekalan makanan bagi tempoh jangka panjang.

Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri Dr Norlela Ariffin berkata, beliau sudah berhubung dengan Pejabat Tanah Galian (PTG) Pulau Pinang untuk semakan maklumat kesemua tanah terbiar milik kerajaan negeri dan Persekutuan.

"Proses mengenal-pasti tanah tidak produktif, antaranya dimiliki Felcra Berhad, Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) serta Jabatan Pertanian sudah dimulakan.

"Usaha itu turut melibatkan tanah rintis milik Teknologi Nasional Berhad (TNB) dan milik persendirian yang berpotensi dimanfaatkan untuk tujuan itu," katanya dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas berkaitan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memutuskan lima langkah diambil bagi menjamin keselamatan makanan negara.

Langkah itu termasuk meningkatkan kerjasama di antara kerajaan Persekutuan dan negeri dalam usaha menambah keluasan tanah bagi kegunaan pertanian untuk mengurangkan kebergantungan kepada import makanan.

Dalam pada itu, Norlela berkata, polisi jaminan keselamatan makanan di Pulau Pinang tidak sekadar menyentuh aspek tanah terbiar malah turut merangkumi strategi menggantikan bahan mentah makanan ternakan yang diimport.

Katanya, penggunaan serangga dikenali 'Black Soldier Fly' (BSF) melalui kaedah semulajadi daripada sumber seperti sayur terbuang untuk membolehkan induk BSF bertelur dan menghasilkan larva tinggi protein boleh dijadikan sebagai alternatif.

Tambahnya, antara sumber protein dan tenaga yang turut boleh dimanfaatkan untuk makanan ternakan ialah petai belalang dan kacang kelisa.

Ia dapat mengurangkan kos operasi serta kebergantungan kepada makanan ternakan komersil.

"Negara seperti Myanmar sudah lama menggunakan kacang kelisa sebagai pengganti gandum kerana ia mengandungi kadar protein yang hampir menyamai komoditi itu.

"Langkah ini turut mewujudkan peluang baharu kepada petani untuk bergiat dalam penanaman kacang kelisa bagi dibekalkan kepada sektor penghasilan palet makanan," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2022 @ 3:36 PM