GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nazarali SaerilAmir Abd HamidMuhamaad Razis Ismail dan Muhammad Saufi Hassan dan Nurul Husna Mahmud


Kuala Lumpur: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) menetapkan sasaran untuk membangunkan 100 hektar tanah terbiar dengan bilangan 50 pengusaha setiap tahun.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, sehingga kini, 10,367 hektar tanah terbiar sudah dibangunkan di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, 8,179 pengusaha juga sudah menerima insentif dengan jumlah peruntukan sebanyak RM111.6 juta.

"Bagi memastikan kelangsungan projek, tanaman kekal dan berimpak tinggi amat digalakkan untuk ditanam bagi mengelakkan tanah yang dibangunkan menjadi terbiar semula.

"Di samping itu, tanaman singkat masa turut disyorkan bagi memastikan petani memperoleh pendapatan segera berikutan kitaran penanamannya yang pendek.

"Antara tanaman yang sudah diusahakan adalah seperti buah-buahan, sayur-sayuran, padi dan kelapa yang mencatatkan jumlah pengeluaran sebanyak 224,003 metrik tan dengan nilai pengeluaran berjumlah RM 213.2 juta," katanya berhubung isu sekuriti makanan negara.

Ahad lalu laporan khas isu sekuriti makanan disiarkan Metro Ahad yang mendedahkan pengimportan makanan dalam lima tahun naik 22.3 peratus iaitu kepada RM55.4 bilion pada 2020 berbanding RM45.3 bilion pada 2015.

Untuk rekod, Ronald berkata, pada 2019, Jabatan Pertanian Malaysia (DOA) mengenal pasti 103,563 hektar tanah terbiar yang membabitkan 46,382 lot di Semenanjung Malaysia termasuk Wilayah Persekutuan Labuan.

"Dalam usaha mengoptimumkan penggunaan tanah untuk tujuan pertanian, Mafi melalui DOA menggalakkan usahawan tani dan pemilik tanah untuk membangunkan tanah terbiar dengan aktiviti pertanian menerusi Projek Pembangunan Tanah Terbiar.

"Projek Pembangunan Tanah Terbiar bertujuan membangunkan tanah terbiar supaya menjadi tanah yang produktif dan memberi pulangan kepada pengusaha atau pemilik tanah.

"Selain itu dapat meningkatkan pengeluaran tanaman makanan memandangkan tanah baharu bagi tujuan pertanian kini adalah terhad," katanya.

Menurutnya untuk tujuan itu, kerajaan membantu usahawan dan pemilik tanah dengan inisiatif yang diberikan secara one-off meliputi skop seperti bantuan bagi pembangunan infrastruktur umpamanya pemasangan sistem pengairan dan saliran serta pembinaan jalan ladang.

Selain itu, katanya, bantuan secara terhad input pertanian seperti benih, baja, racun, mesin dan peralatan kecil.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Mei 2021 @ 12:22 PM